Wednesday, 7 February 2018

WANITA CEDERAKAN SUAMI MENGAKU TIDAK BERSALAH

AYER KEROH: Seorang suri rumah warga Vietnam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan mencederakan suaminya, dua tahun lalu.

Thi Diem Huong, 20, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Lee Kim Keat.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mencederakan Chong Pheng Lit, 27, dengan membaling cawan dan plug elektrik ke arah mangsa di Rumah Awam Paya Rumput, jam 7.30 malam, pada 30 Oktober 2016.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan hukuman dibacakan bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda RM4,000, atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Azri Zakaria tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh kerana tertuduh seorang warga asing, bagaimanapun mencadangkan jumlah jaminan yang tinggi serta menetapkan syarat dua penjamin warga tempatan, perlu melapor diri di balai polis berhampiran dan menyerahkan pasport sekiranya mahkamah mahu membenarkan jaminan.

Tertuduh yang diwakili peguambela Yong Ii Yang merayu jaminan dikurangkan dengan alasan perlu menjaga anak perempuan berusia tiga tahun dan masih tinggal serumah dengan suaminya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan dua orang penjamin beserta syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap minggu dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan 22 Februari ini untuk sebutan semula kes.

- Berita Harian - 

Tuesday, 6 February 2018

(Bahagian akhir): Saya serah nyawa saya pada Allah

DALAM siri akhir temubual ini, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Antipengganas (E8) Cawangan Khas, Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkongsi pengalamannya menggalas tanggungjawab berat menangani ancaman pengganas yang semakin ‘galak’ mencari pengaruhnya di negara ini.

Menurut Ayob, ada harga yang perlu dibayar bila mengetuai sebuah unit yang cukup dibenci pengganas dalam dan luar negara itu.

” Saya mengambil serius setiap ugutan bunuh yang saya terima kerana saya tahu mereka berkemampuan melakukannya. Saya serah pada Allah, kita boleh mati di mana sahaja,” kata Ayob.
Berikut adalah siri kedua temubual eksklusif wartawan theRakyat.com, Syahril A. Kadir dengan Ayob di Bukit Aman baru-baru ini.

Bukan rahsia lagi Datuk sering menerima ugutan bunuh dan dianggap antara orang yang paling diburu oleh militan Daesh di rantau ini kerana usaha berterusan PDRM menangkap pengikut dan penyokong mereka. Antaranya dari Ketua Militan Daesh Asia Tenggara, Muhamad Wandy Muhamad Jedi, yang juga salah seorang salah seorang daripada dua rakyat Malaysia yang dilaporkan terlibat dalam video pembunuhan secara sembelihan di Syria pada 2015. Bagaimana Datuk melihat ancaman demi ancaman yang diterima ini?

AYOB:  Dulu kita para anggota dan pegawai Cawangan Khas tidak ke hadapan, tetapi saya terpaksa ke hadapan. Saya anggap ancaman itu satu cabaran. Saya memang banyak menerima ancaman bunuh terutama dari Wandy. Dia bagaimanapun terbunuh dalam serangan di Syria tahun lalu. Seminggu sebelum puasa lepas saya menerima ugutan daripada anggota Daesh Indonesia pula.

Setiap ancaman ni saya anggap serius. Kita kena hati-hati kerana mereka ada kemampuan. Baru-baru ini kita tangkap seorang pekerja pembinaan dari Indonesia. Dia bawa pisau rambo nak pergi cari sami Budha sebagai nak balas apa yang menimpa masyarakat Rohingya. Dia pergi ke Puduraya, nasib baik dia tak jumpa kalau tak memang dia nak sembelih!

Setiap ugutan yang saya terima saya anggap asam garam sebagai pegawai polis. Kita berjuang bukan untuk diri sendiri tetapi agama, bangsa dan negara. Tugas polis tugas mulia. Kalau saya terlalu takut, saya tak berani keluar, tak berani pergi ke forum, tak berani nak bercakap…macam mana?
Hidup mati kuasa Allah. Yang penting persediaan, kalau takdir kita mati, kat mana pun kita boleh mati. Pergerakan saya memang terhad dan kena selalu berhati-hati. Itulah pengorbanan yang saya perlu hadapi.
(Bahagian akhir): Saya serah nyawa saya pada Allah
Ada banyak kumpulan pengganas yang wujud ketika ini yang bukan daripada kumpulan menggunakan nama Islam, adakah mereka ini terlepas dari ‘radar’ Bukit Aman?

AYOB: Ini yang ramai tak faham. Kita dalam konteks menangani keganasan, bukan hanya tertumpu kepada kumpulan mengeksploitasi Islam semata-mata. Kita dah tangkap berpuluh anggota Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), anggota Babbar Khalsa International (BKI) iaitu pengganas Sikh yang terlibat dalam beberapa siri pengeboman di Punjub, India dan banyak lagi kalau saya nak sebut.

Saya nak tegaskan, bukan kerana disebabkan mereka (pengganas) guna nama Islam, kita hanya tumpu pada mereka saja, tidak. Tidak sama sekali. Kerja kami tak membezakan fahaman, agama dan warna kulit. Selagi ada yang mahu mencetuskan sabotaj dan huru hara dengan tindakan keganasan mereka, kami akan buru dan tangkap mereka yang terlibat.
Tiada kompromi dalam hal keselamatan rakyat dan negara.

(Bahagian akhir): Saya serah nyawa saya pada Allah
Kenapa masih ada anggota masyarakat yang ragu-ragu dengan tindakan polis dalam menangani isu keganasan ini? Mengapa masih ada rakyat yang menganggap operasi yang dijalankan PDRM khususnya E8 tidak lebih dari sekadar lakonan dan sandiwara semata-mata?

AYOB: Dulu dalam konteks ISA, memang kita tak menghebahkan siapa yang kita tangkap. Hanya ahli keluarga dan peguam mereka saja yang tahu. Perbicaraan pula tertutup jadi orang awam tak tahu. Namun bila Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) atau SOSMA dikuatkuasakan, kita bawa mereka yang ditangkap ke mahkamah.

Tahun lepas saja kita dah tangkap 369 orang, daripada jumlah itu, seramai 170 orang dah dihadapkan ke mahkamah. Yang disabitkan dengan kesalahan adalah seramai 122 orang. Di bawah Akta Pencegahan Jenayah(POCA) kita tangkap 47 orang. Di bawah Akta Pencegahan Keganasan (POTA) seramai 28 orang. Yang di bawah Imigresen ada, yang diusir pun ada.

Bila kita tangkap mereka ini, memang kita warwarkan di media tetapi bila kes itu dibicarakan, publisiti mengenainya berkurangan. Sebenarnya kalau orang awam nak tahu, mereka boleh saja pergi ke mahkamah. Pergi ikuti perbicaraan itu. Tiada siapa nak halang. Cuba dengar kat mahkamah, adakah kita ni sandiwara atau bagaimana.

Sewaktu heboh Festival Arak hendak dibuat baru-baru ini, polis menasihatkan penganjur agar membatalkannya. Ini mencetuskan polemik yang hebat kerana ada pelbagai pihak termasuk ahli politik yang membantah kenyataan Ketua Polis Negara, malah polis dianggap cuba untuk menyekat hak orang bukan Islam, apa komen Datuk?

AYOB: Bila Tan Sri Fuzi berkata demikian, ada ahli politik yang mempertikaikan kenyataannya. Malah ada ahli politik yang menuduh PDRM ‘kuda tunggangan’ kerajaan, menghalang hak bukan Islam minum arak. Sudah tentu kita bukan saja-saja nak halang. Buktinya kita berjaya memberkas tiga lelaki termasuk seorang pelajar tingkatan enam yang disyaki merancang untuk mengebom ‘Better Beer Festival 2017’ di Lembah Klang, dalam serbuan di Kelantan.

Suspek masing-masing berusia 19, 25 dan 35 tahun itu ditahan dalam serbuan ke atas sebuah restoran di Pasir Puteh. Dua lagi adalah seorang bekas anggota Tentera Darat (TD) yang juga buruh binaan dan seorang kontraktor binaan. Susulan tangkapan itu, kita melakukan pemeriksaan dan merampas bahan letupan (IED) di rumah dua daripada suspek. Pelajar ini dah buat enam IED.

 Mereka melakukan ujian letupan di satu kawasan lapang menggunakan pelbagai bahan untuk membuat bom. Tiga buah IED telah berjaya diletupkan dalam ujian itu jadi mereka sedang rancang membawa tiga lagi untuk tujuan serangan. Kita siap pamerkan IED yang kita rampas itu dalam sidang akhbar. Ini fakta, bukan rekaan. Dan tiga-tiga mereka dah dihadapkan ke mahkamah, banyak tuduhan yang dikenakan, pergilah dengar sendiri kat mahkamah sama ada betul atau tak betul tindakan kita.

(Bahagian akhir): Saya serah nyawa saya pada Allah
Boleh Datuk jelaskan apa itu SOSMA, POTA dan POCA? Adakah ia sama dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dimansuhkan itu?

AYOB: Di bawah tangkapan SOSMA ni dia ada enam prosedur. Antaranya macam mana kita tangkap, berapa lama tempoh remannya, macam mana kita nak gunakan keterangan saksi terlindung dan berbagai lagi. Itu undang-undang prosedur, bila cukup bukti kita akan tuduh di bawah Kanun Keseksaan. Namun kalau bukti itu ada tetapi ia tidak disokong dengan lain-lain elemen, kita akan tahan mereka di bawah POTA atau Akta Undang-Undang Pencegahan Keganasan dan POCA (Akta Pencegahan Jenayah)
Bezanya dalam POTA, hanya suspek yang ditangkap dan mengakui menganggotai kumpulan pengganas yang telah disenaraikan di dalam Seksyen 66B dan 66C Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFAPUA) 2001. POCA pula digunakan ke atas individu yang tidak menyertai mana-mana kumpulan yang disenaraikan.

Jangan samakan POTA, POCA ni dengan ISA. Ia berbeza sama sekali. Jika sebelum ini, ISA mengundang tohmahan bahawa kuasa Eksekutif Menteri disalahgunakan bagi mengeluarkan perintah tersebut, POCA dan POTA memperuntukkan Lembaga Pencegahan Jenayah yang mana ahlinya dilantik khas, untuk membuat keputusan mengenainya.

(Bahagian akhir): Saya serah nyawa saya pada Allah
Berikutan tindakan agresif yang dibuat polis, banyak badan bukan kerajaan (NGO) mula menyatakan kebimbangan untuk menyertai dan menghantar misi bantuan ke negara-negara yang terlibat dalam konflik. Ini kerana mereka bimbang ditangkap atau menjadi ‘perhatian’ Bukit Aman, apa komen Datuk?

AYOB: Memang dulu ada NGO-NGO yang dikesan digunakan oleh kumpulan pengganas untuk membiayai aktiviti mereka. Masa Jemaah Islamiah (JI) dulu, sebanyak 19 buah NGO dan syarikat yang dikesan membiayai kumpulan pengganas ini. Setakat ini kita belum mengesan penglibatan NGO dari Malaysia yang membiayai sumber kewangan kumpulan Daesh. Apapun kita akan teruskan pemantauan mengenainya.

Sebenarnya NGO tak perlu takut nak buat misi kemanusiaan. Sentiasalah rujuk dengan pihak polis. Bukankah banyak NGO yang berada di bawah naungan kerajaan, ikutlah NGO ini. Yang jadi masalah NGO yang pergi secara bersendirian. Kita pun tak tahu siapa mereka dan siapa di belakang mereka. Betul ke dana yang mereka kutip itu pergi ke pihak yang betul atau sebaliknya? Kita bukan nak sekat. Memang menjadi kewajipan umat Islam untuk membantu saudara mereka yang ditindas, bantuan sebegitu itu lebih baik daripada pergi angkat senjata dan buat sesuatu yang kita sendiri tidak pasti situasinya.

Dengan kemajuan teknologi ketika ini khususnya, adakah ia menjadi cabaran E8 untuk menangani isu keganasan ini?

AYOB: Memang itu cabaran besar, bukan saja PDRM tetapi juga semua agensi penguatkuasa undang-undang serta badan risikan seluruh dunia ketika ini. Ambil contoh paling mudah, applikasi Telegram yang sering digunakan anggota-anggota militan ini untuk berkomunikasi atau berhubung antara sesama mereka. Di seluruh dunia ada 50 juta pengguna Telegram, ada satu bilion mesej berlegar, nak pantau macam mana? Itu belum masuk applikasi lain yang berlambak ketika ini. Apapun kita ada cara untuk menanganinya tetapi seperti yang saya katakan tadi, ia bukan kerja mudah. Yang penting, kita kena tingkatkan kerja-kerja risikan.

Kehebatan pegawai dan anggota E8 mula menjadi bualan sejak akhir-akhir ini, apa rahsia kejayaan unit ini?
(Bahagian akhir): Saya serah nyawa saya pada Allah

Temubual eksklusif bersama Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kaula Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 31 JANUARI 2018.

AYOB: Ramai di antara kami bermula dulu sama-sama masa unit ini masih kecil (tahun 1993) sehinggalah ia diperbesarkan. Bukan nak masuk bakul angkat sendiri tetapi saya cukup bangga dengan komitmen dan disiplin yang anak-anak buah saya berikan. Kita diiktiraf hingga ke peringkat antarabangsa.

Pegawai kita dijemput berkongsi pengalaman sampai ke luar negara. Contohnya dalam isu pembiayaan kewangan keganasan, untuk Asia Tenggara ni kita agensi pertama yang buka kertas siasatan berhubung perkara tersebut. Kita dah buka 20 kertas siasatan (IP) mengenainya. Kita jadi contoh. Ada pegawai saya jadi penceramah tetap untuk Interpol!

Satu perkara lagi yang perlu diingat, kalau setakat kami saja tak mungkin kita dapat kejayaan demi kejayaan seperti yang kita capai ini. Unit ini tidak boleh bergerak sendiri tanpa bantuan jabatan lain dalam PDRM. Kami juga dapat bantuan daripada agensi kerajaan selain PDRM. Saya bagi contoh, bila kita perlu buat operasi khas di Sabah, Unit Udara PDRM yang bantu kami dari segi pengangkutan, Esscom pun bantu.

(Bahagian akhir): Saya serah nyawa saya pada Allah
Temubual eksklusif bersama Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kaula Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 31 JANUARI 2018.

Bila berhadapan dengan operasi berisiko tinggi, Unit Tindak Khas (UTK) akan bersama-sama kami. APMM pun bersama kita bila bantuan mereka diperlukan.
Pendek kata walaupun kami ‘core’ dalam tugasan menangani keganasan ini, ia tidak akan berhasil tanpa kerjasama pelbagai pihak dalam PDRM. Ini kerja berpasukan! – theRakyat.com
(Bahagian pertama): Darah rakyat Malaysia ‘halal’ di mata pengganas!

 Sumber: TheRakyat

Saturday, 3 February 2018

Apa dah jadi dengan rumah pusaka keluarga Najwa di Felda Lurah Bilut ???


Tanda tanya rumah manakah yang bakal disinggahi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Felda Lurah Bilut kini terjawab.

Najib dijangka menjadikan rumah pusaka anak generasi ketiga Felda Lurah Bilut, Najwa Ahmad sebagai tempat persinggahan beliau sempena Majlis Pelancaran Felda 2.0, petang ini.

Najwa menyifatkan kesudian Perdana Menteri menjadi tetamunya sebagai satu kejutan besar dan penghargaan khususnya kepada arwah bapanya yang berdiri teguh menyokong kepimpinan Ahli Parlimen Pekan itu ketika hayatnya.

“Langsung tak terfikir (rumah terpilih tempat persinggahan PM), bila pihak pengurusan datang, saya ingatkan sebagai usahawan kek dan bakeri dan perniagaan.

“Bila beliau memilih rumah pusaka arwah ayah dan mak ini, ia bagai satu penghormatan besar kepada kami adik-beradik.

“Kalau arwah ayah saya masih ada lagi, pasti dia sangat gembira,” katanya.


Najwa juga berkata, kejutan itu bukan kali pertama kerana arwah bapanya pernah dianugerahkan watikah penghargaan daripada Najib diakhir perkhidmatannya sebagai Menteri Besar Pahang pada 1986.

“Surat ini menyatakan ucapan terima kasih kepada arwah ayah kerana menyokong beliau selama ini sehingga akhir hayatnya.

“Hari ini kami dikejutkan sekali lagi dengan kunjungan beliau ke rumah kami walaupun arwah ayah dah tak ada,” katanya lagi.

Sumber -theRakyat.com

Friday, 2 February 2018

Lebih 7,000 Anggota Polis Sarawak Sedia Hadapi PRU14



KUCHING , 2 Feb (Bernama) -- Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak akan menugaskan lebih 7,000 pegawai dan anggotanya di seluruh negeri bagi memastikan kelancaran proses mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Ketua Urusetia PRU PDRM Sarawak, ASP Wan Shamsuddin Husin berkata antara unit yang terlibat adalah Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Gerakan Udara dan Cawangan Khas serta beberapa unit lain yang berkaitan.

Selain itu, katanya, pihaknya turut meminta bantuan anggota daripada Pusat Latihan Polis (PULAPOL) sebagai sokongan pada hari mengundi.

"Sejumlah, 3,904 anggota akan ditugas bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menjalankan tugas-tugas khas di pusat mengundi," katanya pada sidang media mengenai Latihan Amal Op Undi Percubaan PRU14 di Pusat Media, IPK Sarawak, di sini, hari ini.

Menurutnya, sebanyak 23 Ibu Pejabat Polis (IPD) di seluruh Sarawak telah mengadakan Latihan Amal Siri 1 secara serentak hari ini sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan rusuhan.....

(Bahagian pertama): Darah rakyat Malaysia ‘halal’ di mata pengganas!


ANCAMAN kumpulan militan yang menggunakan nama Islam untuk menjustifikasikan perjuangan mereka semakin hari semakin membimbangkan.  Bahagian Antipengganas (E8) Cawangan Khas, Bukit Aman adalah pihak yang bertanggungjawab memantau, menyiasat dan seterusnya bertanggungjawab bertindak ke atas ahli-ahli kumpulan ini yang cuba menyusup masuk perjuangan dan ideologi mereka ke Malaysia.

Namun di sebalik kerja keras E8 dalam mematahkan banyak percubaan untuk menimbulkan huru-hara dan ketegangan di dalam negara, masih ramai di kalangan rakyat negara ini yang sangsi dan ‘keliru’ dengan apa yang berlaku. Tidak kurang yang menganggap apa yang terjadi hanyalah sandiwara yang sengaja diciptakan.

Wartawan TheRakyat.com, Syahril A. Kadir menemui dan menemubual sendiri Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Antipengganas (E8) Cawangan Khas, Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay bagi mendengar penjelasannya mengenai isu ini.
Berikut adalah siri pertama temubual tersebut.

Bagaimana bermulanya kewujudan kumpulan ekstremis dan militan yang menggunakan nama Islam di negara kita?
AYOB:  Pada tahun 1979 berlaku revolusi Islam di Iran. Ada rakyat kita yang melihat perkara tersebut sebagai satu ‘model’ kerana ia menunjukkan pemimpin agama seperti Ayatollah Khomeini juga mampu untuk menumbangkan kerajaan sekular seperti yang dilakukan ke atas kerajaan Shah Iran.

Pada tahun yang sama kita lihat berlakunya pencerobohan tentera Soviet Union di Afghanistan. Ramai rakyat kita waktu itu pergi ke sana untuk berlatih dan seterusnya menyertai peperangan bagi mengusir tentera asing tersebut.

Namun bila kembali ke Malaysia, ada yang mula menubuhkan kumpulan-kumpulan seperti Kumpulan Militan Malaysia (KMM), Jemaah Islamiyah (JI), Al-Maunah dan lain-lain. Semua kumpulan ini mempunyai elemen berkonsepkan Mujahidin. Mereka berpendapat kerajaan Malaysia ini tidak mengamalkan ajaran Islam dan wajib diguling.

Darah kita halal. Kita dianggap bukan Islam. Mereka anggap kerajaan, parti-parti politik dan agensi yang menyokong kerajaan adalah sasaran yang sah untuk dibunuh.

Tindakan PDRM dikatakan bermotifkan politik dan bertujuan untuk mematahkan gerakan Islam di negara ini, sejauh mana kebenaran dakwaan tersebut?

AYOB: Bila kita mengambil tindakan (mereka yang melanggar undang-undang), ia dibuat tanpa mengira fahaman atau parti politik. Dulu waktu KMM, memang ada beberapa tokoh politik dari parti tertentu yang memang menyertai KMM. Walaupun parti mereka berjuang mengikut sistem demokrasi, tetapi ada elemen-elemen tertentu dalam parti itu yang tidak mempercayai demokrasi. Mereka mengatakan ‘kita tak dapat mewujudkan negara Islam melalui sistem demokrasi kerana kita sering ditipu’, jadi mereka mengatakan perlu ada satu lagi elemen iaitu elemen militan dalam parti tersebut.

Kita tahu ada pemimpin kanan parti itu sedar tentang kewujudan ahli-ahli mereka yang menyertai KMM tetapi mereka tidak mengambil tindakan dan tidak memberitahu pihak polis.

Bagi saya jelas, kita bukan menentang Islam. Dalam konteks menangani keganasan, kita menentang individu yang mengatakan dia Islam, yang mengaku dirinya Islam tetapi terlibat dalam keganasan. Kita perlu membezakan antara Islam dan individu. Yang kita nak tentang ini bukan Islam, tetapi individu yang tersasar, mereka yang salah menafsir Al-Quran dan hadis.

Mana ada dalam Islam yang membolehkan kita membunuh orang awam atau orang kafir tanpa sebab. Ayat mana? Hadis mana? Tunjuk pada saya. Individu-individu terlibat hanya mengeksploitasikan ayat Al-Quran dan hadis untuk menjustifikasikan tindakan mereka dalam aksi keganasan. Itu yang kita nak tentang!





(Bahagian pertama): Darah rakyat Malaysia ‘halal’ di mata pengganas!
 Tidakkah penyertaan rakyat kita dalam misi di Afghanistan dulu adalah satu bentuk jihad kerana mereka menentang pencerobohan negara asing ke atas negara berkenaan dan juga umat Islam di situ?
AYOB: Masa penakhlukan Soviet Union ke atas Afghanistan dulu, banyak kumpulan-kumpulan yang bergerak menentang mereka. Ketika itu, memang jihad. Ia dari tahun 1979 hingga 1989. Namun selepas tentera penceroboh ini berundur, kumpulan-kumpulan mujahidin ini mula bergaduh sesama sendiri.

Lepas tu mulalah muncul Taliban dan Al Qaeda. Bila mereka berjaya dalam peperangan mengusir kuasa besar seperti Soviet Union, mereka ini termasuklah Osama Ben Laden kemudiannya mula mengsasarkan serangan ke negara-negara Islam yang sekular.  Mereka berjaya mengalahkan kuasa besar jadi mereka berpendapat tibalah masanya untuk ‘target’ negara-negara Islam sebegini. Oleh itu mereka mula ‘mengeksport’ ideologi mereka keluar.

Apakah ideologi yang mereka pegang Datuk?
AYOB: Hampir kesemua kumpulan pengganas yang menggunakan nama Islam ketika ini memegang ideologi Salafi Jihadi. Itu adalah fakta! Mereka menolak sistem demokrasi, perlembagaan sekular, sistem pilihan raya, ijmak dan qias, menolak pegangan mazhab, melabel umat Islam sekular sebagai murtad yang wajib diperangi, orang bukan Islam dianggap kafir Harbi yang wajib dibunuh, pihak polis dan kerajaan sekular boleh dibunuh dan harta benda mereka boleh dirampas, menghalalkan darah dan harta orang Islam yang didakwa amal bidaah.

Ada yang tidak bersetuju bila ideologi Salafi Jihadi ini dikaitkan dengan kumpulan pengganas. Apa komen Datuk?

AYOB: Betul, ada orang yang mempertikaikannya tetapi fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan pada Oktober 2014 sendiri mengesahkan kumpulan ini memegang ideologi itu dan Kertas Putih yang dibentangkan Perdana Menteri pada tahun sama juga juga mengaitkan Salafi Jihadi dengan kumpulan-kumpulan ekstremis ini.

Ini bukan dipegang oleh Daesh saja tetapi juga turut ‘diperbaharui’ oleh Al-Qaeda. Sampai sekarang, kumpulan militan mana yang tak pegang pada ideologi ini, tak ada. Boko Haram, Abu Sayyaf, JI, Darul Islam, Al-Qaeda semuanya mengamalkan ideologi yang serupa cuma pendekatan mereka yang agak berbeza sedikit. Macam Daesh ni mereka agresif, sembelih orang, bakar orang manakala Al-Qaeda pula sasaran mereka berupa kawasan yang mempunyai kepentingan ketenteraan atau tempat-tempat maksiat.

Kalau kita tengok dalam konteks Islam, Salafi ni adalah zaman paling murni dalam Islam iaitu zaman kira-kira 300 tahun selepas kewafatan Rasulullah SAW. Ia adalah zaman sahabat Nabi, Tabi’in (pernah bertemu sahabat tetapi tak pernah bertemu Nabi) dan Tabi’ tabi’in (tak pernah bertemu nabi dan sahabat tapi bertemu dengan tabi’in). Empat imam mazhab kita iaitu Hanafi, Maliki, Hanbali dan Syafie memang hidup dalam zaman tersebut.

Sebab itu bila kita bercakap dalam konteks Ahli Sunnah Wal Jamaah, kita ni berpegang kepada empat mazhab. Di Asia Tenggara ni kita pegang pada mazhab Syafie, kalau kat India mereka Hanafi, di utara Afrika mereka Maliki manakala di tanah Arab, Hanbali. Kita semua tak ada masalah. Kita ada perbezaan, benda-benda furuq. Mazhab Syafie baca doa Qunut, mazhab lain tak baca, tapi kita tak pernah mempertikaikan antara satu sama lain. Kita meraikan perbezaan dan bukan melabelkan orang.  Perpecahan dan masalah mula muncul bila kita mempertikaikan pegangan antara sesama kita.

Dulu JI selalu melaung-laungkan slogan untuk menubuhkan Daulah Islam Nusantara, adakah konsep yang sama turut diperjuangkan kumpulan militan lain di rantau ini?

AYOB: Konsepnya sama. Kalau dulu dalam JI, mereka adalah gabungan Al-Qaeda. JI diberi tanggungjawab untuk menubuhkan kerajaan Daulah Islam Nusantara yang merangkumi Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei dan beberapa negara lain. Daesh pun nak buat macam tu juga.

Kalau kita tengok Daesh ini, mereka ada di serata dunia. Mereka ada di Nigeria, Mesir, Algeria, dekat sini pun ada. Mereka pun menyimpan hasrat sekiranya berjaya dalam rantau tersebut, mereka nak bergabung dalam satu sistem khalifah. Khalifah mereka itu Abu Bakar al-Baghdadi lah.

Niat itu dengar macam bagus tetapi dalam konteks sekarang, perkara sebegitu tak boleh nak dilaksanakan. Kalau nak buat macam mana yang mereka nak, semua negara Islam kena sepakat dan bersatu padu melantik seorang khalifah. Contohnya melantik Raja Salman sebagai khalifah. Namun semua negara Islam kena bersetuju terlebih dahulu, mereka tak boleh lantik diri mereka sendiri sebagai khalifah.


(Bahagian pertama): Darah rakyat Malaysia ‘halal’ di mata pengganas!

Datuk, apa asal usul Daesh ini sebenarnya. Sejauh mana dakwaan ia diwujudkan oleh musah-musuh Islam?

AYOB: Ada beberapa teori dan pendapat yang mengatakan Daesh diwujudkan oleh musuh-musuh Islam. Saya cerita sedikit sejarah Daesh ni. Ia ditubuhkan oleh Abu Musab al-Zarqawi yang menubuhkan Al-Qaeda di Iraq pada 2004. Tujuan dia untuk menentang pendudukan tentera Amerika Syarikat di Iraq.

Apabila Abu Musab terbunuh pada 2006, tempatnya diambil alih oleh Abu Ayyub al-Masri dan nama kumpulan itu ditukar ke Islamic State Of Iraq (ISI). Bila kedua- dua pemimpin ini terbunuh, ia diambil alih oleh Abu Bakar al-Baghdadi dan nama kumpulan ini ditukar pula kepada Islamis State Of Iraq and Syria.

Selepas itu nama kumpulan ini ditukar menjadi Islamic State merangkumi Palestin, Israel, Jordan dan lain-lain lagi.  Kalau orang tengok konsepnya bagus iaitu asasnya untuk menentang tentera Amerika di Iraq. Kemudiannya mereka beralih ke Syria untuk menggulingkan rejim Bashar. Pada peringkat awal Bashar pun menyokong IS sebab IS menentang tentera Amerika di Iraq namun selepas tu IS menentang dia balik.

Kalau kita tengok Abu Musab al- Zarqawi, beliau pernah ditahan tentera Amerika di Iraq. Hampir empat tahun dia dipenjarakan. Dalam penjara lagi Amerika Syarikat nampak dia mempunyai karisma. Contohnya kalau ada pergaduhan atau rusuhan, Abu Musab akan dipanggil dan semua banduan akan patuh pada arahannya.

Sebab itu ada teori mengatakan Amerika Syarikat sengaja membebaskan Abu Musab dan ‘menubuhkan’ Al-Qaeda di Iraq ni untuk kepentingan mereka. Kita tengoklah satu demi satu negara Islam kucar-kacir. Di Syria pun sama. Saya tak mengatakan Bashar itu baik. Kita tahu Bashar ni memang orang yang ‘keras’, dia memang orang Syiah tetapi kalau kita tengok muftinya pula seorang Sunni. Saya pernah pergi ke Damascus, Syria pada 2010 (sebelum berlakunya krisis) kerana nak menghantar suspek Al-Qaeda yang ditangkap di Malaysia untuk balik ke sana. Ketika itu di sana ada banyak masjid Syiah, masjid Sunni, kita boleh pergi sembahyang kat mana-mana masjid pun tak ada halangan namun selepas krisis ini timbul, semuanya hancur!

Baik ini pandangan saya, pandangan saya berasaskan pandangan agamawan juga. Dalam Islam antara kemusnahan kecil dan kemusnahan besar, mana satu yang kita pilih? Dalam konteks Syria ini memang kita akui Bashar ini kejam, tetapi sekurang-kurangnya dia dapat ‘mengawal’ negaranya.

Begitu juga Iraq, memang Saddam Hussein ini ‘keras’ dan kejam orangnya tetapi ternyata dia berjaya mengawal negaranya. Dulu di Iraq, kumpulan minoriti Sunni memerintah kumpulan majoriti Syiah di Iraq. Sekarang apa jadi? Negara itu jatuh ke tangan Syiah. Orang Sunni sekarang ditindas di sana.
Sama juga seperti Libya, Presiden Muammar Ghadaffi memang keras. Namun saya masih ingat masa menuntut di UKM pada tahun 1985, dia boleh hantar dan menaja para pelajarnya ke sini. Sekarang apa yang jadi kat Libya?

Ini yang rakyat Malaysia kena faham, umat Islam kita kena faham. Kita jangan teruja sangat dengan konsep ‘human right’, kebebasan bersuara, semua nak bebas, ini tak betul, itu tak betul. Kalau ini yang kita nak, kita tengoklah apa yang terjadi kat negara-negara Islam. Satu persatu jatuh. Isu-isu sebegini yang dimainkan. Kita ada Majlis Fatwa Kebangsaan, kita ada Majlis Fatwa Negeri…ada fahaman yang tak boleh diamalkan di Malaysia, kita ikut saja. Jangan pertikaikan.

(Bahagian pertama): Darah rakyat Malaysia ‘halal’ di mata pengganas!
Temubual eksklusif bersama Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kaula Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 31 JANUARI 2018.

Boleh Datuk komen mengenai rakyat Malaysia yang pergi Syria untuk berjuang dan berjihad di sana?
AYOB: Banyak orang kita kata nak pergi berjihad tetapi realitinya bila sampai wilayah yang dimaksudkan, mereka hanya berbunuh antara sesama Islam. Ada yang dijanjikan untuk berjuang di barisan hadapan, tetapi rupanya hanya diminta jaga stor, cuci tandas dan tukang masak.

Akhirnya mereka sedar, dengar lain tetapi bila sampai benda jadi lain. Nak balik semula ke Malaysia dah jadi payah. Contohnya di Syria, ada 95 orang rakyat kita pergi ke sana ‘untuk berjuang’. Yang balik ada lapan orang. Macam-macam sebablah kenapa mereka balik. Antaranya kata sebab nak dapatkan rawatan, ada yang kata mereka disuruh buat benda lain, bukannya berjuang, ada yang balik untuk melancarkan serangan kat sini.

Di Syria sendiri ada dekat 70 lebih kumpulan, mana satu yang berjihad ni? Dulu yang pergi ke Syria dipimpin oleh Ustaz Lutfi Arifin, dia dulu menyertai Free Syrian Army, bila dia terbunuh, yang ikut dia tu semua pergi join Daesh pula!

Saya tak kata semua kumpulan yang berjuang di Syria tu pengganas. Memang ada kumpulan yang betul-betul mempertahankan orang Sunni, tetapi yang mana satu? Ramai yang tak pasti. Ramai yang tak jelas. Sebab itu orang kata jangan pergi ke sana sebab ia tempat fitnah. Semuanya dah bercelaru.
Ada kumpulan yang disokong Amerika Syarikat, ada yang disokong Iran, ada yang disokong Turki (tetapi sekarang tidak lagi) jadi yang mana satu? Musuh kita siapa sebenarnya kalau pergi ke sana ni, Bashar ke? Amerika Syarikat ke? FSA ke? Tahrir Al Syam ke?
Setakat ini sudah 34 orang daripada jumlah itu terbunuh di sana.

Susah ke rakyat kita yang ke Syria untuk berjuang hendak kembali ke tanah air?
AYOB: Memang sukar.  Dulu pengkalan mereka dekat Raqqa tetapi Raqqa dah jatuh. Sekarang mereka berpengkalan di Abu Kamal, dekat sempada Iraq. Kalau dulu di Raqqa mereka boleh berkomunikasi, internet pun laju tetap sekarang ni makan pun susah, penginapan pun susah. Kena pindah randah bimbang ditangkap.

Pergerakan mereka semuanya kena ada surat. Kalau rakyat kita berhajat nak balik, dari satu wilayah ke satu wilayah yang mereka lalu itu perlu dapatkan surat kebenaran dari ‘amir’ kawasan itu terlebih dahulu.

Dulu mereka siap kena naik mahkamah kalau berhajat nak balik. Kebanyakan rakyat kita yang pergi ke sana dah bakar pasport mereka. Nak balik macam mana? Kecuali kalau mereka dapat berhubung dengan keluarga mereka di Malaysia dan keluarga mereka minta bantuan kita, bolehla.

Contohnya mereka nak keluar melalui Turki, kita bolehlah minta bantuan Turki tetapi mereka kena bergerak sendirilah. Kita memang tak boleh hantar pasukan kita masuk ke Syria kerana keadaan dah tak terkawal di sana. Mereka kena bergerak sendiri sampai ke Iraq ke, Jordan ke, Turki ke, sampai ke negara tersebut barulah kita jemput dan beri dokumen perjalanan kepada mereka.

Nak pergi senang, nak balik payah. Tak tahulah apa nasib 53 lagi rakyat Malaysia yang ada kat sana. Kanak-kanak pun ada.

Kerjasama Bukit Aman dengan agen perisikan asing seperti dengan CIA dilihat ‘kerjasama dengan orang kafir’ dan membelakangi Islam, apa penjelasan Datuk dalam hal ini?

AYOB: Dalam memerangi keganasan ini, kita mempunyai musuh yang sama. Dalam grup-grup Daesh ni mereka bukan kira dah sama ada awak orang Islam ke, orang Budha ke, orang Kristian ke. Kalau menentang mereka, awak adalah musuh mereka.

Isu membelakangi Islam tak timbul sebab kumpulan ini bukan mempejuangkan Islam, kumpulan ini memperjuangkan syaitan! Mereka anggap darah kita halal, andai kata kita tak bekerjasama dengan agensi perisikan Barat pun, darah kita tetap halal bagi mereka. Kita terlibat dalam pilihanraya, darah kita dianggap halal. Kita pergi mengundi, darah kita tetap halal bagi mereka!
(bersambung)

Sumber Artikel -  http://therakyat.com/2018/02/02/bahagian-pertama-darah-rakyat-malaysia-halal-di-mata-pengganas/