KUALA LUMPUR: "Saya menderma darah sejak 1981 lagi dan berharap bakti tidak seberapa ini dapat menjadi penyambung nyawa mereka memerlukan," kata Sarjan Mejar Mohd Zaini Ahmad.
Anggota polis di Bahagian Audit Dalam Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu menjadi warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) paling banyak menderma darah kepada Pusat Darah Negara.
Sehingga kini, Mohd Zaini sudah menderma darah sebanyak 260 kali dan mengakui ia sudah menjadi sebahagian rutin kehidupannya biarpun sibuk dengan tugas sebagai warga PDRM.
Berkongsi kisah bagaimana derma darah sudah menjadi rutin kehidupannya, Mohd Zaini berkata, ia bermula apabila seorang pegawai kerap menasihatinya serta rakan lain untuk menderma darah berikutan pada ketika itu, Pusat Darah Negara kekurangan bekalan darah.
"Pada waktu itu tahun 1981, saya baru masuk perkhidmatan polis dan ada seorang pegawai ini, beliau kerap menasihati saya dan rakan lain untuk menderma darah kerana kurangnya penyumbang darah di negara ini.
"Atas nasihatnya itu, saya mula kerap menderma darah sebelum melakukannya secara konsisten setiap dua minggu sekali sehingga kini," katanya ketika ditemui pada Program Derma Darah Sempena Peringatan Hari Polis Ke-211 di Dewan Theatrette Menara 1, Bukit Aman di sini, hari ini.
Mohd Zaini adalah salah seorang daripada tiga warga PDRM yang mendapat penghargaan daripada Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun kerana banyak menderma darah kepada Pusat Darah Negara.
Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim dan Pengarah Pusat Darah Negara, Dr Noryati Abu Yamin.
Turut mendapat penghargaan adalah Asisten Superintendan Mohd Reimie Sudirman yang sudah menderma darah sebanyak 131 kali sejak tahun 1997 dan Inspektor Mohamad Nizan Mohamad Nor yang sudah menderma darah sebanyak 98 kali sejak tahun 1999.
Mohd Reimei, ketika ditemui berkata, rutin menderma darah itu dilakukan ketika menuntut di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Jalan Semarak.
"Selain berkhidmat sebagai polis menjaga keselamatan dan ketenteraman awam, saya tidak tahu bagaimana untuk membantu masyarakat kerana sibuk dengan tugas seharian.
"Jadi, saya harap dengan darah yang saya derma ini, setidak-tidaknya saya dapat menolong mereka yang memerlukannya," katanya.
Dalam program yang bermula jam 8 pagi tadi, seramai 400 pegawai dan anggota polis hadir menderma darah.
Sementara itu, Mohamad Fuzi, ketika mengulas mengenai program berkenaan berkata, PDRM sudah menjadikannya sebagai program tahunan sejak 2006 apabila menyambut Hari Polis.
"Kita berharap, ia setidak-tidaknya dapat membantu mencukupkan tabung darah di Pusat Darah Negara.
"Ini kerana kami dimaklumkan bahawa setiap hari, Pusat Darah memerlukan sekitar 2,000 beg darah bagi kegunaan 1,000 pesakit di seluruh negara," katanya.
- Berita Harian -
0 comments:
Post a Comment