BACHOK 31 Julai - Polis menahan empat individu termasuk seorang wanita selepas membawa dua ekor lembu dipercayai dicuri dalam sebuah kenderaan di Kampung Beris Panchor, Tawang, di sini awal pagi tadi.
Empat suspek terbabit berusia antara 27
hingga 45 tahun ditahan oleh sepasukan anggota polis yang menjalankan
tugas ronda cegah jenayah di sekitar kampung terbabit pada pukul 2.30
pagi.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Nik
Aminuddin Raja Abdullah berkata, ketika meronda, anggota polis
terserempak dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Naza Citra yang
dipandu dalam keadaan yang mencurigakan.
Menurutnya, anggota yang bertugas kemudiannya mengekori kenderaan berkenaan sehingga tiba di lokasi kejadian dan menahan mereka.
"Hasil pemeriksaan mendapati dua ekor lembu berwarna coklat berada di tempat duduk belakang.
"Turut
ditemukan ialah peralatan menyumpit dan ubat pelali dipercayai
digunakan terhadap haiwan terbabit sebelum mengangkutnya ke dalam
kenderaan," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Menurutnya, empat suspek tersebut direman sehingga 3 Ogos ini untuk siasatan lanjut.
"Kami
juga meminta pemilik lembu untuk tampil ke IPD Bachok bagi mengenal
pasti lembu yang dirampas memandangkan sehingga kini tiada lagi individu
tampil membuat laporan polis tentang kehilangan lembu mereka.
"Kes ini disiasat di bawah seksyen 29(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955," katanya. - UTUSAN ONLINE
0 comments:
Post a Comment