Johor
Bahru: Seorang koperal polis berusia 33 tahun, patah kaki, manakala
tulang pinggulnya teralih akibat dirempuh kereta dipandu seorang suspek
yang cuba melarikan diri di Jalan Pasir Gudang, Johor Bahru, petang
semalam.
Kaki kiri Johar Bagini dari Unit Kereta Peronda (MPV) Polis
Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan (JBS) patah di tiga
tempat.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Jokhiri Abd Aziz
berkata, kejadian berlaku kira-kira 2.30 petang ketika dua anggota
polis dari IPD Seri Alam menjalankan tugas rondaan di kawasan Pasir
Gudang dan apabila tiba di Jalan Perak, terserempak dengan sebuah kereta
dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.
"Suspek memecut kereta dan memandu laju secara melulu yang
membahayakan pengguna jalan raya yang lain selepas polis mengarahkannya
berhenti untuk pemeriksaan.
"Ketika dikejar, suspek menyembur minyak diesel ke arah
kereta MPV polis menggunakan hos yang disambung kepada dua tong dram
besar berisi minyak diesel yang berada dalam kereta diubah suai bahagian
dalamnya," katanya.
Menurutnya, ketika suspek memandu melalui Jalan Pasir
Gudang menghala Taman Johor Jaya, empat orang anggota polis dalam dua
kereta peronda MPV membuat sekatan lalu lintas untuk membantu menahannya
namun suspek terus memecut memotong kenderaan lain dan dengan laju,
merempuh seorang anggota polis peronda MPV yang berada di tepi jalan.
"Polis terpaksa melepaskan tembakan ke bahagian hadapan kereta suspek apabila mendapati dirinya terancam.
“Tembakan itu tidak mengenai suspek dan dia memandu laju ke arah Johor Jaya dengan dikejar MPV Polis Seri Alam," katanya.
Jokhiri berkata, apabila tiba di satu persimpangan di Jalan
Rosmerah 2/11, Taman Johor Jaya, berhampiran sebuah bank, berlaku
kemalangan antara kereta suspek dengan kereta peronda MPV yang
mengejarnya.
Katanya, kedua-dua kenderaan itu mengalami kerosakan dan terhenti.
"Dalam situasi cemas, suspek yang agresif dan tidak
terkawal, meluru ke arah anggota polis sambil memegang batang besi
menyebabkan kita terpaksa melepaskan tembakan ke arah suspek yang
mengenai pinggangnya,” katanya.
Menurut Jokhiri, suspek yang terkena tembakan masih boleh
bergerak dan mampu berlari untuk meloloskan diri, namun berjaya ditahan
selepas berlaku pergelutan dengan anggota polis.
Katanya, suspek yang berusia 30 tahun itu didapati
menggunakan kereta curi dengan nombor pendaftaran palsu yang dilaporkan
hilang di Tampoi, Skudai.
"Suspek mempunyai 10 rekod jenayah lampau termasuk tiga kes dadah.
"Dia ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh," katanya.