Tuesday, 23 October 2018

KDN akan mansuh akta SOSMA

 KDN akan mansuh akta zalim

KUALA LUMPUR - Kementerian Dalam Negeri (KDN) berusaha meminda atau memansuhkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya telah meminta pindaan atau pemansuhan undang-undang berkaitan keselamatan diluluskan Parlimen dan diperkenankan oleh Yang Di-Pertuan Agong.

"Saya telah mengarahkan Polis Diraja Raja Malaysia (PDRM) untuk merangka satu Prosedur Operasi Standard (SOP) yang baharu dalam menangani kes-kes yang melibatkan penahanan di bawah undang-undang ini.

"Arahan saya supaya pihak penguatkuasa undang-undang seboleh mungkin meraikan hak rakyat untuk bersuara, berhimpun dan bergerak bebas selagi mana ia tidak menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam," katanya.

Beliau berkata, sementara langkah pindaan ini dilakukan, polis tidak akan bertindak seolah-olah undang-undang ini berjalan seperti sebelumnya.

"Langkah ini bagi mengelakkan salah faham kononnya kerajaan PH masih mewarisi sikap zalim dan tidak bertanggungjawab seperti dulu," tegasnya.

Menurut Muhyiddin, selaras dengan cadangan pindaan atau pemansuhan undang-undang berkaitan keselamatan seperti yang terkandung dalam manifesto PH, Kementerian Dalam Negeri telah menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas Mengkaji Undang-Undang Keselamatan pada bulan Julai 2018.

"Setelah mendapat keputusan Jemaah Menteri, pihak Jabatan Peguam Negara akan menyediakan Rang Undang-Undang yang berkaitan untuk dibentangkan di Dewan Rakyat.

"Sebahagian daripada Rang Undang-Undang ini  akan dapat dibentangkan di Dewan Rakyat dalam bulan November 2018 atau selewat-lewatnya dalam sidang Dewan Rakyat yang  akan datang," jelasnya.

Beliau memaklumkan antara isu yang dibincangkan jawatankuasa khas berkenaan ialah penahanan  tanpa bicara di bawah Poca dan Pota, tempoh tahanan reman yang panjang iaitu 60 hari di bawah Poca dan Pota serta 28 hari di bawah Sosma.

Termasuk juga ketiadaan ruang untuk mahkamah mengadakan semakan kehakiman dari segi merit ke atas penahanan di bawah Poca dan Pota, kuasa  pihak penguatkuasa yang terlalu luas, sekatan terhadap kebebasan bersuara dan berhimpun dan penyalahgunaan undang-undang keselamatan untuk tujuan politik.

Sementara itu, lebih kurang 100 orang berhimpun di luar bangunan Parlimen menuntut pemansuhan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Himpunan aman ini digerakkan Desak Sampai Mansuh (DSM), Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dan keluarga tahanan Sosma menyerahkan memorandum rayuan mansuhkan Akta Sosma kepada Muhyiddin di Parlimen.

Penyelaras Suaram, Amir Abdul Hadi mendakwa, majoriti tahanan Sosma dituduh sebagai pengganas atau penjenayah terancang walaupun tanpa bukti yang kukuh dan tanpa kesalahan yang nyata.

Hal demikian katanya, himpunan ini mendesak kerajaan baharu memenuhi komitmen terhadap agenda reformasi.

"Kami menggesa supaya moratarium dikenakan ke atas akta ini agar ia tidak digunakan sementara ini, kaji semula proses rehabilitasi tahanan Sosma dan kerajaan perlu memastikan bahawa tahanan yang bakal dibebaskan selepas menjalani hukuman tidak akan ditahan semula bawah Poca dan Pota.

"Selain itu,menuntut hak sama rata untuk tahanan Sosma, mansuhkan Sosma dalam tempoh setahun  dan menubuhkan tribunal untuk menyiasat salah guna kuasa oleh pihak berkuasa," katanya.

- SINAR HARIAN - 

Sunday, 21 October 2018

Wanita ditahan buat laporan polis palsu

 PDRM

SANDAKAN - Tindakan seorang wanita berusia 39 tahun membuat laporan polis palsu bagi mengelak membayar denda permohonan penggantian kad pengenalan hilang di Jabatan Pendaftaran Negara menyebabkan dia ditangkap.

Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata wanita itu ditahan semalam selepas siasatan terperinci dijalankan terhadap laporan polis yang dibuat bahawa beg tangannya diragut oleh dua lelaki yang menunggang sebuah motosikal tidak berlaku.

Katanya wanita rakyat tempatan dalam laporan palsu dibuatnya mendakwa kejadian itu berlaku pada hari yang sama kira-kira jam 5.30 pagi di Perhentian Bas, Batu 2, Jalan Utara dekat sini.

Berikutan laporan itu, polis membuka siasatan di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan, katanya di sini, hari ini.

Beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat laporan polis palsu kerana jika didapati laporan yang dibuat adalah tidak benar maka seseorang itu boleh ditangkap dan didakwa.

Menurutnya kesalahan itu adalah di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga enam bulan atau denda hingga RM2,000 atau kedua-dua sekali, kata di sini, hari ini.  - Bernama

Saturday, 20 October 2018

Dr Mahathir sedia letak jawatan, kesal sikap biadap pemandu teksi



LANGKAWI: Tun Dr Mahathir Mohamad sedia meletak jawatannya selepas kesal dengan tindakan segelintir pemandu teksi bersikap biadap dan meninggalkan sesi dialog selepas enggan menerima penjelasan beliau berkaitan isu GRAB.

Perdana Menteri berkata, beliau sudah bersara sebelum ini, namun kembali semula selepas diminta orang ramai untuk memulihkan keadaan negara.

“Saya nak tolong tapi kalau tak ada bantuan...saya pun tak boleh tolong juga. Kalau tak percaya saya boleh buat, buat sendiri. Tengok apa yang jadi.

“Saya bukan nak jadi Perdana Menteri, saya dah bersara...orang panggil balik, jadi saya datang.
“Kalau tak nak saya jadi Perdana Menteri, saya hari ini letak jawatan. Tak ada masalah bagi saya,” katanya pada Sesi Dialog Bersama Pemandu Teksi Langkawi di sini, hari ini.

Terdahulu, kira-kira 10 pemandu teksi bertindak mengeluarkan kata-kata kesat dan membuat bising sebelum keluar dewan ketika Dr Mahathir memberi penjelasan berhubung isu e-hailing.

Sesi dialog itu dihadiri hampir 200 pemandu teksi Langkawi yang mendakwa pendapatan mereka terjejas ekoran perkhidmatan GRAB yang dikatakan ‘mencuri’ pelanggan.

Terdahulu, Dr Mahathir berkata, GRAB akan diminta menggunakan kenderaan yang diluluskan kerajaan, membayar insurans dan membayar cukai sama seperti teksi bagi memastikan persaingan adil.

“Saya pernah membangkitkan perkara ini dalam Kabinet...saya beritahu Menteri (Pengangkutan) supaya memperbetulkannya, tetapi malang sehingga kini tiada kemajuan langsung.

“Saya akan usaha lagi...saya pun rasa tidak adil. Perkara ini dalam perhatian saya tetapi saya tidak boleh bagi jaminan hapuskan GRAB, tetapi kita boleh samakan mereka dengan teksi,” katanya.

- BERITA HARIAN -

Tuesday, 16 October 2018

Harga rokok naik lagi



HARGA rokok akan dinaikkan akhir bulan ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata, ia berikutan kenaikan mana-mana cukai berdasarkan Peraturan 8A Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

“Kementerian Kesihatan sedang menyelaraskan kelulusan harga rokok terkini.

“Pelaksanaan SST (Cukai Jualan dan Perkhidmatan) baru-baru ini akan menyebabkan harga bagi semua jenis produk tembakau termasuk rokok kena dinaikkan.

“Atas sebab itu, di bawah Peraturan A harga perlu dinaikkan daripada harga yang terikat ketika ini,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

- HARIAN METRO -
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Oktober 2018 @ 12:52 PM

Monday, 15 October 2018

Jual beli makanan di lampu isyarat satu kesalahan

Jual beli makanan di lampu isyarat satu kesalahan

KOTA BHARU - Trend menjaja makanan berhampiran lampu-lampu isyarat sekitar jalan raya di negeri ini adalah satu kesalahan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, aktiviti jual beli makanan di tengah-tengah jalan itu bukan sahaja menganggu aliran trafik, malah turut membahayakan keselamatan penjaja dan pembeli serta pengguna jalan raya yang lain.

Katanya, mereka yang menjaja dan membeli menggunakan cara itu boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut peruntukan sedia ada.

“Mana-mana jalan raya dan lampu isyarat di negeri ini bukan tempat menjaja dan tindakan saman boleh dikenakan kerana menganggu kelancaran trafik serta menghalang lalu-lintas. 

“Penjaja yang jual makanan itu boleh disaman, pengguna jalan raya yang membeli makanan pun boleh disaman,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Dialog Ketua Polis Kelantan bersama ahli-ahli Malaysian Palm Oil Association (MPOA) cawangan Kelantan, semalam.

Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama mereka yang terlibat supaya menghentikan cara mencari pendapatan seperti itu dan mematuhi undang-undang di negara ini.

“Kita tidak boleh ikut cara di negara lain seperti Indonesia yang menjaja merata-rata di jalanan kerana negara ini ada peraturannya sendiri. Perbuatan ini juga menganiaya pengguna jalan raya lain yang tidak terlibat dengan urusan tersebut kerana terpaksa menunggu jual beli selesai apabila lampu trafik hijau.

“Kami tidak halang orang ramai, khususnya anak muda yang hendak mencari rezeki, tetapi biarlah rezeki yang dibawa balik itu, ‘manis’ dan bukannya hasil daripada aktiviti bertentangan dengan peraturan,” katanya.

Kebelakangan ini, trend menjaja di jalan utama di sekitar bandar ini menjadi-jadi seolah-olah seperti di Indonesia dengan  jualan pelbagai jenis makanan ringan seperti piza, burger, yong tau fu, bebola daging dan minuman.

Mereka menjaja makanan dan minuman tersebut dari kereta ke kereta ketika lampu isyarat merah di persimpangan.
 
Julai lalu, enam penjaja berusia antara 19 dan 20 tahun ditahan di Jalan Kuala Krai dan Jalan Pengkalan Chepa dengan dikenakan saman mengikut Kaedah 10A LN 166/59.
Kaedah memperuntukkan denda maksimum RM2,000, jika sabit kesalahan.

- Sinar -