Thursday 8 June 2017

Koperal ditembak dengan pistol gas



ANGGOTA Pasukan Gerakan Am (PGA) cedera di leher selepas terkena tembakan berhampiran pengkalan haram Syarifah, dekat pekan Rantau Panjang, pada 12.40 tengah malam tadi.

Koperal Shahrul Suliman, 34, kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu dan keadaannya stabil.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan Asisten Komisioner Mohd Fakri Che Sulaiman ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Beliau berkata, ketika kejadian, mangsa bersama rakan setugas dalam perjalanan ke Balai Polis Rantau Panjang dari pengkalan haram itu.

“Dalam perjalanan, mereka menahan dua lelaki menaiki motosikal bernombor pendaftaran Thailand yang dalam keadaan mencurigakan.

"Seorang daripada lelaki itu melarikan diri dan mangsa mengejarnya. Tidak lama kemudian, berlaku tembakan. Rakan mangsa kemudian ke tempat kejadian dan melihatnya terbaring dengan kecederaan di leher.

"Mangsa dipercayai ditembak dengan pistol gas menggunakan peluru ‘bearing’ dan pemeriksaan doktor dapati ia tidak menembusi belakang badan dan tidak juga terkena organ penting.

"Kedua-dua suspek sempat melarikan diri," katanya, di sini, hari ini.
Beliau berkata, mangsa dihantar ke Hospital Pasir Mas sebelum dirujuk ke HRPZ II dan keadaannya kini stabil.

Katanya, usaha mengesan dua suspek sedang giat dilakukan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjatapi (Penalti lebih Berat) 1971/ Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Harian Metro - Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Jun 2017 @ 12:07 PM

0 comments:

Post a Comment