Monday 25 September 2017

Dicekup pulang rumah ambil pakaian



POLIS tahan lelaki disyaki terbabit kes pukul sampai mati di rumah di Kampung Pinang, Air Itam, Georgetown, 10.10 malam tadi.

Sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) memberkas suspek berusia 23 tahun itu di rumah sewanya.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Anuar Omar mengesahkan penangkapan suspek selepas diburu polis sejak Sabtu lalu.

Beliau berkata, suspek pulang ke rumah mengambil pakaian untuk melarikan diri selepas mengetahui dia diburu polis selepas kejadian Jumaat lalu itu.

Katanya, suspek kemudian dibawa ke IPDTL sebelum ke mahkamah pagi ini untuk mendapatkan perintah tahanan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian malam Jumaat itu, suspek dan seorang lagi rakannya yang masih bebas memukul mangsa, Lim Kok Boon, 33, di kawasan tempat pembuangan sampah di Blok B, Flat Kampung Melayu, Air Itam.

Mangsa dipukul dengan topi keledar sehingga pengsan sebelum dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) sebelum disahkan meninggal dunia pada 10 pagi semalam.

Susulan itu, polis masih memburu rakan suspek, Mohd Yusri Mohamed, 38, dari Flat Kampung Melayu, Air Itam.

Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai suspek diminta menghubungi IPDTL di talian 04-2181822 atau balai polis berhampiran.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 September 2017 @ 10:24 AM

0 comments:

Post a Comment