1. Kerajaan komited dengan dasar penstabilan harga runcit minyak selaras dengan janji Manifesto Pakatan Harapan. Mulai 7 Jun 2018, Kerajaan telah mengekalkan harga runcit petrol RON95 dan diesel pada paras RM2.20 seliter dan RM2.18 seliter walaupun harga pasaran dunia produk petroleum terus meningkat secara mendadak pada masa tersebut. Kerajaan telah menanggung subsidi sebanyak RM7.14 bilion sehingga November 2018 di mana tanggungan subsidi bagi bulan Mei sehingga November 2018 adalah sebanyak RM5.82 bilion.
2. Kerajaan akan terus mengekalkan harga runcit petrol RON95 dan diesel pada paras RM2.20 seliter dan RM2.18 seliter apabila harga sebenar pasaran melambung lebih tinggi daripada harga yang telah ditetapkan melalui pemberian subsidi tetapi secara bersasar dan bukannya tersasar.
3. Kini, penetapan harga jualan runcit produk petroleum pada setiap bulan adalah dibuat berdasarkan formula Automatic Pricing Mechanism (APM) yang mengambilkira purata kos produk petroleum yang diproses, mengikut rujukan Mean of Platts Singapore (MOPS) dan kadar tukaran mata wang asing pada bulan sebelumnya. Dengan itu, sebarang kenaikan atau penurunan harga sebenar pasaran dunia pada bulan semasa akan hanya diselaraskan pada bulan berikutnya. Dalam hal ini, trend kenaikan atau penurunan harga sebenar pasaran minyak yang berlaku dalam bulan Disember 2018 akan diterjemahkan dalam penurunan harga runcit minyak pada bulan Januari 2019.
4. Sejajar dengan trend penurunan harga pasaran minyak dunia pada ketika ini, Kerajaan akan menyelaraskan harga runcit produk petroleum termasuk RON95 kepada harga yang lebih rendah mulai 1 Januari 2019 memandangkan penetapan harga jualan runcit produk petroleum adalah secara bulanan. Ini memberikan kelebihan kepada pengguna sekiranya harga minyak dunia sedang naik tetapi memandangkan trend harga minyak adalah menurun kerajaan sedia menukarkan asas penetapan harga jualan runcit produk petroleum secara mingguan.
5. Ini bermakna kaedah penetapan harga secara bulanan di bawah APM akan digantikan dengan penetapan harga jualan runcit secara mingguan dalam keadaan harga minyak dunia menurun. Penetapan harga jualan runcit produk petroleum secara mingguan akan dilaksanakan mulai 1 Januari 2019 bagi membolehkan pengguna menikmati perubahan harga yang lebih cepat selaras dengan perubahan harga petroleum di pasaran dunia. Oleh demikian harga runcit produk petroleum dijangka turun mulai 1 Januari 2019 dan sekiranya trend penurunan harga minyaksedunia diteruskan, maka harga minyak runcit akan diturunkan setiap minggu.
6. Timbul pula persoalan apa akan berlaku sekiranya harga minyak dunia naik balik kerana ini akan melihatkan kenaikan harga minyak runcit naik juga setiap minggu. Dalam keadaan sedemikian, kenaikan harga minyak runcit akan dikawal dan dihadkan kepada RM2.20 seliter untuk RON95 dan RM2.18 untuk diesel. Pengekalan harga ini adalah sehingga pelaksanaan pemberian subsidi petrol RON95 secara bersasar dilaksanakan pada tahun 2019. Ini selaras dengan manifesto PRU-14 Pakatan Harapan untuk meningkatkan kesejahteraan ekonomi rakyat dengan membolehkan rakyat menerima faedah penurunan harga minyak tetapi membantu golongan B40 dengan subsidi bersasar bila harga minyak naik.
7. Saya juga ingin menyatakan bahawa dakwaan mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa Kerajaan telah mengenakan cukai jualan sebanyak 30 sen seliter ke atas petrol RON95 sejak November 2018 adalah tidak benar. Jumlah kutipan cukai jualan sebanyak RM120 juta seminggu bagi produk petrol RON95 seperti didakwa diterima oleh kerajaan juga adalah palsu. Fitnah beliau adalah sama dengan dakwaan sebelum ini bahawa, 1MDB menguntungkan Malaysia bila satu dunia pun tahu bahawa 1MDB ialah skandal rasuah terbesar dalam sejarah yang membebankan Malaysia dengan hutang kerajaan perseketuan lebih RM1 trillion. Ataupun dakwaan beliau bahawa masalah bayaran balik GST sebanyak RM19.4 bilion sejak 31 Mei 2018 tidak wujud sungguhpun sejak 2015, lebih 121,429 individu dan 4 syarikat belum dapat bayaran balik termasuk Shell, yang sendiri diakui oleh bekas ahli Kabinetnya Khairy Jamaluddin.
8. Dalam keadaan harga minyak yang naik lebih daripada harga RM2.20 seliter untuk RON95 dan RM2.18 untuk diesel, sebagaimana yang telah diumumkan dalam Belanjawan 2019, Kerajaan akan mula melaksanakan pemberian subsidi petrol RON95 secara bersasar untuk golongan yang layak. Bagi golongan bukan sasar, harga runcit petrol RON95 akan diapungkan secara terkawal bagi mengurangkan tanggungan subsidi Kerajaan serta selaras dengan hasrat pemberian subsidi yang sepatutnya memanfaatkan golongan sasar sahaja khususnya mereka yang berpendapatan rendah.
Sayangi Malaysiaku!
Lim Guan Eng
Menteri Kewangan Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya 24 Disember 2018
0 comments:
Post a Comment