SHAH ALAM: Anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim digambarkan mengalami cedera parah apabila dilihat duduk dengan kaki dilunjur ke arah jalan, kepalanya menunduk manakala tangannya memeluk tubuh seperti menahan kesakitan.
Saksi awam, Amirrul Adli M Yussli, 26, berkata walaupun memandang Muhammad Adib Mohd Kassim sekilas, beliau percaya bahawa individu itu adalah seorang anggota bomba kerana mengecam seluar celoreng bomba yang dipakainya.
Amirrul Adli berkata, ketika menoleh sebentar ke arah Muhammad Adib, beliau sedang melihat kereta miliknya yang rosak akibat bergesel dengan van Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) selepas dilanggar jentera Fire Rescue Tender (FRT) yang berundur tiba-tiba.
“Walaupun cahaya lampu tidak berapa terang tetapi saya boleh nampak individu yang duduk di tepi jalan seperti menahan sakit itu memakai seluar seragam bomba. Saya hanya pandang sekali lalu iaitu kira-kira lima saat kerana saya sedang fokus pada pintu sisi kereta di bahagian pemandu yang kemek dan tidak boleh dibuka.
“Ketika saya menoleh ke arah anggota bomba itu saya nampak tiada sesiapa bersama dia,” katanya ketika menjawab soalan daripada Timbalan Pendakwa Raya Faten Hadni Khairuddin.
Tambah beliau, beberapa minit kemudian antara lapan hingga 10 orang cuba memberi bantuan dengan mengusung Muhammad Adib bawa ke depan kereta milik saksi dan membaringkan mangsa di atas jalan raya.
Amirul Adli kemudian mendengar suara orang menjerit “Dia nak pengsan! Dia nak pengsan!” Sekali lagi beliau menjenguk ke arah Muhammad Adib dan melihat mangsa tidak bergerak malah kelihatan semakin lemah.
“Salah seorang yang menolong Muhammad Adib meminta tolong saya untuk hantar mangsa ke hospital dan saya hanya jawab tidak dapat tolong kerana pintu kereta saya tidak boleh dibuka.
“Saya tanya orang dekat situ apa terjadi dengan Muhammad Adib kemudian mereka memberitahu mangsa kena bantai berulang kali. Saya bertanya dengan orang lain pula tetapi dia tak nampak apa yang berlaku,” katanya.
Ketika menjawab soalan Faten Hadni sama ada beliau nampak atau tidak sebarang lebam atau luka pada tubuh badan Muhammad Adib, Amirul Adli hanya menjawab tidak nampak kerana keadaan samar-samar.
Terdahulu, Amirul Adli pada awalnya dalam perjalanan ke Putra Heights bersama seorang rakan tersekat akibat kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, pada 27 November tahun lalu.
Beliau yang berada dalam kekecohan bersama hampir seratus orang yang memenuhi kawasan rusuhan itu turut melihat ada di antara perusuh yang membawa besi panjang dan botol minuman yang dibaling ke cermin kenderaan di situ.
Muhammad Adib yang parah dalam kejadian itu menghembuskan nafas terakhir selepas 21 hari bertarung nyawa, pada 17 Disember lalu di Institut Jantung Negara (IJN).
Prosiding inkues di hadapan Koroner Rofiah Mohamad bersambung 2.40 petang ini.
- BERITA HARIAN -
fun88 fun88 rb88 rb88 fun88 soikeotot fun88 soikeotot sbobet ทางเข้า sbobet ทางเข้า 온카지노 온카지노 12bet 12bet 카지노 카지노 562
ReplyDelete