Tuesday 26 September 2017

Viral lelaki, penguat kuasa DBKL bertengkar: Polis tahan pemandu



KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang pemandu kereta selepas videonya bertengkar dengan anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Chong Kok Sin, berkata, tangkapan ke atas lelaki berusia 38 tahun itu dibuat jam 6.30 petang tadi ketika dia tampil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras untuk memberi keterangan.

Katanya, anggota penguat kuasa DBKL itu juga sudah tampil membuat laporan berhubung kejadian di Balai Polis Sentul semalam.

Berdasarkan laporan itu, anggota berkenaan mendakwa kejadian berlaku ketika dia bersama rakan setugas dan dua pekerja syarikat kunci tayar menjalankan operasi di Taman Segar, Cheras pada jam 12.46 tengah hari.

"Dalam operasi itu, pengadu (anggota DBKL) dan rakannya mengunci tayar sebuah kereta PERODUA Myvi kerana melakukan kesalahan meletak kenderaan di luar petak.

"Tidak lama kemudian selepas menerima arahan daripada pusat kawalan DBKL, pengadu pergi semula ke lokasi berkenaan untuk membuka kunci tayar kereta itu kerana pemiliknya (suspek) hendak membayar denda.

"Bagaimanapun, kedua-dua mereka dipercayai berselisih faham hingga tercetus pertengkaran dan insiden tolak-menolak," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kok Sin berkata, pegawai penyiasat sudah menghubungi anggota DBKL itu untuk diambil keterangan, namun setakat ini dia belum tampil berbuat demikian.

Katanya, pihaknya juga akan merakam keterangan saksi lain yang mempunyai kaitan dalam kes itu.
"Siasatan masih dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kejadian. Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam dan Seksyen 506 kanun sama kerana melakukan ugutan jenayah," katanya.

Terdahulu, satu rakaman video menunjukkan seorang lelaki bertengkar dengan anggota penguat kuasa viral di media sosial sejak awal hari ini.

Dalam rakaman berdurasi empat minit enam saat itu, lelaki berkenaan dilihat seolah-olah tidak berpuas hati dengan petugas DBKL sambil cuba ditenangkan beberapa wanita yang turut berada di situ.

Bagaimanapun, lelaki itu kemudian dilihat mengambil objek seperti kayu dari dalam keretanya dan meluru ke arah seorang lelaki lain yang turut berada di situ, tetapi berjaya dihalang daripada bertindak di luar kawalan.

Dia kemudian beredar dari lokasi tidak lama selepas itu.

0 comments:

Post a Comment