Thursday, 8 February 2018

15 minit kutip cebisan otak



REMBAU: Polis dan anggota peronda Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengutip cebisan otak mangsa kemalangan maut di Kilometer 226.5 lebuh raya itu, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam, Mohd Haziq Haikal Yahaya, 20, yang menunggang motosikal Honda EX5 dari arah Melaka ke Senawang, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah selepas digilis beberapa kenderaan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Rembau, Asisten Superintendan Nazruel Ekram Abu Shari, berkata mangsa yang berasal dari Kampung Kundur Hulu, di sini, dipercayai melanggar belakang sebuah kenderaan sebelum dia terjatuh di atas jalan.

"Mangsa kemudian dipercayai digilis beberapa kenderaan lain yang datang dari arah belakang yang tidak sempat mengelak. Berikutan itu, mangsa cederaan parah di kepala selain kedua-dua tangannya patah.

"Pihak polis bersama beberapa anggota peronda PLUS mengambil masa 15 minit untuk mengutip cebisan otak mangsa di atas jalan kerana keadaan lokasi kejadian yang gelap," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, jenazah mangsa dibawa ke Hospital Tampin untuk bedah siasat.
Katanya, pihaknya juga sedang mengesan kenderaan yang dipercayai dilanggar mangsa sebelum dia terjatuh dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

0 comments:

Post a Comment