Monday 19 February 2018

40 lelaki kepung, ugut polis

- Gambar Hiasan -

TUJUH pegawai dan anggota polis daerah Kangar berhadapan detik cemas apabila mereka dikepung dan diugut kira-kira 40 lelaki ketika sedang menahan seorang lagi lelaki yang dikehendaki di Kampung Seberang Tok Pi, Kuala Perlis di sini.

Seorang daripada mereka turut bertindak ganas apabila cuba merempuh anggota polis bertugas dengan motosikal.

Dalam kejadian pada malam Khamis, kumpulan lelaki itu juga merosakkan cermin hadapan dan lampu kenderaan polis.

Tidak cukup dengan itu, enam daripada mereka turut mengejar kenderaan polis yang membawa suspek sebelum menerjah masuk ke perkarangan Balai Polis Kuala Perlis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kangar, Deputi Superintendan Zaini Talib ketika dihubungi berkata, sebelum kejadian 11.40 malam itu, sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah menyerbu sebuah rumah tidak bernombor di Kuala Perlis.

“Pasukan polis yang diketuai seorang pegawai kanan menahan seorang lelaki berusia 31 tahun yang dikehendaki bersangkut laporan polis atas jenayah yang dilakukan pada tahun lalu.

“Ketika anggota polis terbabit membawa suspek masuk ke dalam van, sekumpulan lelaki kira-kira 40 orang tiba-tiba mengepung dan mempersoalkan tindakan pasukan polis yang menahan rakan mereka itu selain membuat ugutan kepada pihak polis,” katanya.

Zaini, akibat tidak puas hati dengan tindakan pasukan polis menahan suspek, rakan-rakannya bertindak di luar jangkaan.

“Van polis dihalang dari bergerak malah kumpulan lelaki terbabit turut merosakkan beberapa bahagian kenderaan berkenaan,” katanya.

Bagaimanapun, van pasukan polis berjaya keluar dari kepungan dan halangan untuk membawa suspek keluar dari kampung terbabit sehingga ke Balai Polis Kuala Perlis.

Katanya, enam lelaki daripada kumpulan berkenaan mengejar van terbabit sebelum menerjah masuk ke perkarangan Balai Polis Kuala Perlis.

“Kesemua mereka masuk ke perkarangan Balai Polis Kuala Perlis tanpa meminta pas kebenaran daripada pos pengawal.

“Akibatnya polis yang berada di dalam balai bertindak menahan keenam lelaki terbabit yang berusia antara 19 hingga 42 tahun bagi membantu siasatan.

“Dua dari tujuh yang ditahan positif dadah jenis Methamphetamine selepas ujian air kencing dilakukan ke atas mereka,” katanya sambil menambah kesemua mereka direman sehingga 21 Februari bagi siasatan lanjut.

-Harian Metro-

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Februari 2018 @ 8:02 PM

0 comments:

Post a Comment