KUALA LUMPUR - Dikenakan tindakan tatatertib, arahan pindah antara langkah tegas Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap pegawai dan anggotanya yang gagal menangani permasalahan judi, rasuah dan pelbagai salah laku.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya sudah mengenal pasti beberapa pegawai serta anggota dan tindakan sudah diambil termasuk dipindahkan.
Menurutnya, pihaknya serius terhadap isu salah laku bukan saja berkaitan judi, tetapi juga meliputi rasuah serta peras ugut terutama jabatan membabitkan ‘front liner’ (barisan hadapan) seperti bahagian trafik, jenayah dan lain-lain.
“Tindakan tatatertib dan arahan pindah bukan saja membabitkan Ketua Polis Daerah, malah Ketua Polis Negeri. Malah Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri juga telah dipanggil oleh jabatan untuk peringatan.
"Mereka yang dipindahkan ini turut berdepan tindakan susulan daripada jabatan," katanya pada sidang media di Bukit Aman selepas Perhimpunan Bulanan Peringkat Bukit Aman, hari ini.
Mengulas tentang sama ada pegawai atau anggota terbabit boleh dibuang kerja, Mohamad Fuzi menjelaskan, ia bergantung kepada merit kes.
Malah, beliau turut akui banyak aduan terhadap salah laku PDRM yang diterima pihaknya dan itu amat mendukacitakan dan menegaskan tidak sama sekali berkompromi dengan perkara ini.
"Hal ini dah lama, tindakan drastik akan diambil dalam usaha menangani permasalahan ini. Kita cari jalan penyelesaian, hendak kata 100 peratus selesai, ia agak sukar tetapi kita sedang usahakannya," katanya.
Dalam pada itu, Mohamad Fuzi berkata, seramai 926 pegawai dan anggotanya dikenakan tindakan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) bagi tempoh Januari hingga Mei lalu.
“Adalah mendukacitakan apabila melihat kepada statistik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang merekodkan seramai 149 warga PDRM ditahan atas pelbagai kesalahan rasuah, tahun lalu. Manakala tahun 2016, seramai 179 warga PDRM ditahan oleh SPRM. Walaupun jumlah ini menunjukkan penurunan, namun persepsi masyarakat terhadap ketelusan PDRM masih negatif,” katanya.
2 Ogos lalu, Mohamad Fuzi mengesahkan kegagalan menangani jenayah perjudian merupakan salah satu faktor pertukaran jawatan Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad, baru-baru ini.
0 comments:
Post a Comment