KUALA LUMPUR - Sesi saringan pemilihan bagi menyertai Unit Tindakan Khas (UTK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Pusat Latihan Polis (Pulalol) Bukit Sentosa adalah mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, sewaktu proses pemilihan sedang dijalankan, seramai 60 orang anggota telah mengalami strok haba dan terpaksa dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan.
Menurutnya, sebelum ini ada 80 anggota yang menyertai sesi saringan ini, namun 20 orang daripada mereka telah gagal.
"Ini adalah simulasi pertama dan sebahagian proses latihan untuk sertai UTK.
"Proses pemilihan tersebut adalah bagi memilih anggota yang terbaik di kalangan mereka bagi menyertai pasukan UTK dan perkara sebegitu adalah normal dan biasa berlaku apabila setiap kali sesi pemilihan berjalan di mana ada di antara mereka yang tidak mampu meneruskan cabaran," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Operasi Khas Rondaan Cegah Jenayah - Pelatih Pulapol Kuala Lumpur dan Perasmian Pondok Bit Polis Bantuan di Esplanade KLCC di sini, hari ini.
Tambahnya, kesemua mereka itu bukanlah pelatih baharu seperti yang tular di media sosial malah ada di antara mereka yang telah berkhidmat melebihi lima hingga 10 tahun.
Katanya, PDRM akan melihat sekiranya terdapat keperluan untuk menambah baik cabaran dalam setiap sesi pemilihan.
"Bagaimanapun, cabaran yang harus dilalui sebelum dapat menyertai UTK bukanlah mudah kerana integriti PDRM perlu dipelihara dan mereka yang terpilih mestilah yang terbaik," katanya.
Mengulas sama ada anggota tersebut gagal atau tidak dalam saringan tersebut, Mohamad Fuzi berkata, pihaknya akan meneliti perkara itu.
"Kita tiada tolak ansur dalam menekankan hal-hal dalam latihan ini, ini baru proses permulaan.. hendak atau tidak ia perlu dijalankan," katanya.
Hari ini, akhbar tempatan melaporkan kira-kira 61 pelatih Pusat Latihan Polis ( PULAPOL) Bukit Sentosa di sini, dikejarkan ke hospital selepas diserang strok haba ketika menjalani latihan tengah hari, semalam, dan daripada jumlah itu, seramai 16 mangsa dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.
Kesemua mereka dikejarkan dengan menaiki ambulans ke beberapa hospital sekitar Selangor, termasuk Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan kecemasan.
- Sinar Harian -
0 comments:
Post a Comment