Thursday, 22 March 2018

55 pemilik basikal lajak ditahan



NILAI: Seramai 55 kanak-kanak dan remaja berusia 10 hingga 15 tahun ditahan polis berikutan memiliki 50 basikal lajak yang tidak menepati ciri keselamatan di kawasan Hutan Lipur Lenggeng, di sini.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Zaldino Zaludin, berkata sepasukan anggota polis peronda (MPV) yang menjalankan rondaan jenayah terserempak dengan semua remaja terbabit pada jam 11 pagi kelmarin.

Beliau berkata, remaja itu yang sedang beriadah mengaku basikal kepunyaan mereka dan pemeriksaan mendapati ia tidak menepati ciri keselamatan di bahagian lampu serta brek.

Katanya, sepasukan anggota Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai bergegas ke lokasi dan membawa semua basikal itu ke Balai Polis Lenggeng, di sini.

"Semua 55 remaja itu dibawa bersama sebelum ibu bapa mereka dipanggil ke balai. Semua yang hadir diberi nasihat oleh Ketua BPJKK IPD Nilai, Inspektor Jaslin Mian," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Zaldino berkata, dalam penerangan itu, ibu bapa memberi kerjasama dan reaksi positif, malah mereka menghargai tindakan polis kerana sebahagiannya tidak mengetahui aktiviti anak-anak.

Katanya, pihaknya memberi tempoh dua minggu supaya mengubah suai basikal ke bentuk asal dan semua yang ditahan dibebaskan dengan jaminan polis.

"Kami berharap orang ramai sedar penggunaan basikal lajak membahayakan dan operasi bertujuan membendung masalah sosial dalam kalangan remaja," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Peraturan 42 (1) (a) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 1959 dan Seksyen 112 (3) Akta Pengangkutan Jalan 1987, selain itu ibu bapa juga boleh disiasat mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001 kerana membiarkan anak tanpa pengawasan.

- Berita Harian - 

Tuesday, 20 March 2018

Bila dua ‘lejen’ Cawangan Jenayah Berat bertemu setelah sekian lama…


NAMA Poh Boon Wah dan Nazaruddin Md Zain mungkin tak ramai yang tahu. Namun bila disebut nama ‘Tua Kow Poh’ dan ‘Sabu’, ramai penyenayah tegar sekitar tahun 80an dan 90an akan ‘seram sejuk’ bila mendengar dua nama ini.

Kow Poh dan Sabu adalah dua nama yang sangat sinonim dengan Cawangan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur ketika itu.

Gandingan Kow Poh (ketika itu seorang pegawai), Sabu (berpangkat Sarjan), ketua mereka, Tuan Bahadon Baharom (Allahyarham) dan kira-kira 13 pegawai serta anggota lain-lain pangkat dalam D9 K.L ketika itu menyaksikan ramai penjenayah berjaya ditembak mati dalam berpuluh operasi khas yang dilancarkan bagi membendung kegiatan rompakan bersenjata api, penculikan dan pembunuhan yang menjadi-jadi di waktu berkenaan.

Hari ini, setelah sekian lama, Kow Poh dan Sabu bertemu semula.
Bila dua 'lejen' Cawangan Jenayah Berat bertemu setelah sekian lama...

Kow Poh yang berusia lewat 60an bersara dengan pangkat Asisten Komisioner Polis (ACP) kini adalah Pengarah Extra Force Security, sebuah syarikat kawalan keselamatan manakala Sabu yang sudah pun berusia lebih 70 tahun bersara dengan pangkat Sarjan. Untuk rekod, Sabu juga adalah penerima pingat kedua keberanian tertinggi negara, pingat Panglima Gagah Berani (PGB).

Menurut Kow Poh, antara sebab dan ‘punca’ bagaimana pasukan mereka berjaya menembak mati ramai penjenayah tegar ketika itu adalah kerana kekuatan pemberi maklumat yang mereka ada.

” Mana mungkin kami dapat mencapai kejayaan tanpa kehadiran pemberi maklumat. Mereka ini penjenayah juga tetapi penjenayah yang kami telah berjaya ‘pulihkan’. Bukan mudah penjenayah nak percayakan kita tetapi kalau kita jujur dan tidak menganiaya mereka, sekeras-keras mana pun seseorang penjenayah itu, dia akan ‘cair’ juga.

” Sebagai pegawai kanan dalam tim tersebut, saya juga beruntung kerana mempunyai anggota-anggota yang berani dan tangkas seperti Sabu. Mereka ini memang terlatih kerana pernah bertugas dalam UTK, jadi walau setinggi mana pun risiko sesuatu operasi itu, jarang mereka balik dengan ‘tangan kosong’.

” Walaupun ramai penjenayah mati di tangan kami, kami tidak pernah merasa bersalah kerana kami mengikut SOP yang betul, penjenayah yang mati di tangan kami memang telah dikenal pasti dan sangat berbahaya. Ramai juga yang kami tangkap hidup-hidup namun kalau mereka mereka menyerang kami terlebih dahulu, kami tiada pilihan melainkan terpaksa melepaskan tembakan,” katanya.

Bila dua 'lejen' Cawangan Jenayah Berat bertemu setelah sekian lama...
Sementara itu Sabu berkata, walaupun ketika itu mereka berhadapan dengan kes-kes yang sangat berisiko, namun semuanya itu menjadi ‘mudah’ kerana semangat setiakawan tinggi yang terjalin di antara sesama rakan sepasukan.

Katanya, sebagai Sarjan Operasi, beliau terpaksa melupakan perasaan takut kerana tidak mahu anggota-anggota yang lain merasa lemah bila melihat anggota senior mereka sendiri berada dalam keadaan bimbang.

” Yang pasti sebelum kami melakukan serbuan atau serangan terhadap penjenayah, kami buat perancangan yang cukup teliti dan rapi. Kami kaji setiap maklumat yang diperoleh, kami pastikan kekuatan musuh, berapa mereka ada pistol, senapang dan sebagainya.

” Kalau serbuan di rumah, kami pastikan siapa yang buat kepungan, siapa yang serbu, mana jalan keluar, mana jalan masuk, apa plan A, apa plan B, dalam erti kata lain bukan serbu bodoh saja.
” Nyawa orang awam juga penting kerana kami tak mahu berlaku insiden salah tembak dan mereka yang tidak bersalah terkena peluru sesat. Bila kami sampai, penjenayah hanya ada dua peluang, serah diri kalau mahu hidup atau mati kalau menyerang kami – tiada pilihan ketiga!,” kata Sabu.

Sumber – theRakyat.com


Pembuli 'Pok Ya Cong Co Dei' kena reman


KUALA TERENGGANU: Dua remaja perempuan berumur 17 tahun direman tiga hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan berhubung tindakan sekumpulan remaja memalukan seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) dikenali sebagai 'Pok Ya Cong Codei' dengan membuka seluarnya.

Perintah reman terhadap dua suspek dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Sesyen/ Majistret Kuala Terengganu, Rosila Nik.

Suspek ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana perkataan atau isyarat yang dimaksudkan mengaibkan kehormatan seseorang dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Difahamkan, polis sedang mengesan dua lagi rakan suspek yang berada di tempat kejadian bagi membantu siasatan.

Selain itu, polis turut merampas beberapa barang kes termasuk dua telefon bimbit bagi membantu siasatan.

NSTP semalam melaporkan tindakan biadap sekumpulan remaja memalukan 'Pok Ya Cong Codei' dengan membuka seluarnya.

Tidak cukup dengan itu, kumpulan berkenaan turut menaburkan pasir pada kemaluan lelaki yang mengalami masalah lembam itu, selain tangan mangsa diikat ke belakang.

Mangsa dikatakan dimalukan kumpulan berkenaan di kawasan Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu, 4 pagi kelmarin dan kejadian memalukan itu dikatakan dirakam sebelum video berdurasi tujuh saat menjadi tular di Facebook.

- Berita Harian - 


Elaun anggota polis akan dibayar 50% sebelum PRU14



20 MAC: Polis Diraja Malaysia (PDRM) diarahkan membayar elaun sebanyak 50 peratus kepada semua anggota polis yang akan bertugas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika mengumumkannya hari ini berkata, langkah itu harus dilakukan kerana prihatin terhadap kebajikan kakitangan yang akan meninggalkan keluarga masing-masing dalam tempoh yang lama.

“Saya telah mengarahkan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Alwi Ibrahim dan pengurusan pihak polis agar anggota yang akan ditugaskan pada waktu itu diberikan pendahuluan tugas sebelum ke lokasi masing-masing.

“Dan jika mereka mahukan baki elaun dibayar sejurus selesai tugas dijalankan, saya juga mengarahkan agar baki 50 peratus elaun itu dibayar segera oleh KDN,” katanya ketika berucap merasmikan Program Turun Padang Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri Bersama Warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini.

Manakala katanya baki elaun tersebut perlu diselesaikan dalam masa 30 hari selepas berakhirnya PRU14.

“Dalam Islam, upah mestilah dibayar. Elaun mesti dibayar sebelum peluh kering. Jangan simpan duit itu, bayar awal. Saya lakukan ini kerana saya amat prihatin kepada PDRM,” katanya lagi.

PDRM akan menempatkan lebih 64,000 anggota dan pegawai di seluruh negara, bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, PDRM sudah bersedia 100 peratus dalam mendepani PRU-14 yang mana jentera dan peralatan juga telah bersedia sepenuhnya.

Dalam menjalankan tugas-tugas menghadapi pilihan raya umum katanya, beliau telah menggaris empat perkara yang harus dipatuhi setiap petugas polis antranya untuk tidak melakukan sebarang kekerasan serta provokasi.

“Ketiga, kita harus lakukan pertemuan dengan individu-individu parti politik berbeza dan jangan berkompromi terhadap keselamatan serta ketenteraman awam yang tinggi harganya,” katanya.

Friday, 16 March 2018

PPIM NAFI YUSUF AZMI TIDAK LAGI BERSAMA PERSATUAN ITU



Semalam 'Viral' artikel yang mengatakan Yusuf Azmi sudah tiada kaitan dengan PPIM seperti link berikut (VIDEO) EKSKLUSIF: Yusuf Azmi tidak lagi terlibat dengan PPIM – Nadzmi susulan pertemuan ekskulisif para wartawan bersama orang No1 persatuan itu Datuk Nadzmi.

Terkini adalah respon daripada Facebook rasmi PPIM menafikan perkara tersebut dengan menyatakan Kami tidak pernah memaklumkan bahawa Yusuf Azmi tidak lagi bersama PPIM dan sebaliknya memaklumkan bahawa Yusuf Azmi telah menubuhkan persatuanya sendiri.

Posting Facebook yang dimuatnaik 30minit lepas itu sudah mendapat 146Like dan 16 perkongsian daripada Netizen.. Ini petikan daripada Facebook rasmi PPIM

"Yusuf Azmi Tidak Lagi Bersama PPIM?
Kami menafikan perkara ini, makluman yang dipaparkan adalah tidak tepat sama sekali. Kami berharap pihak media tidak memanipulasi kenyataan yang disampaikan dan lebih beretika serta bertanggungjawab dalam mengeluarkan sebarang kenyataan. Kami tidak pernah memaklumkan bahawa Yusuf Azmi tidak lagi bersama PPIM dan sebaliknya memaklumkan bahawa Yusuf Azmi telah menubuhkan persatuanya sendiri.

Kami di PPIM berasa amat kecewa dengan kenyataan ini. Tambahan pula, Toqqi tidak pernah di temuduga oleh pihak Malaysia Gazette. Jelas Toqqi “Sekiranya pihak Malaysia Gazette inginkan maklumat yang lebih tepat, sebaiknya datang bertemu & bukan memanupulasi berita seperti ini”.