Thursday 22 March 2018

55 pemilik basikal lajak ditahan



NILAI: Seramai 55 kanak-kanak dan remaja berusia 10 hingga 15 tahun ditahan polis berikutan memiliki 50 basikal lajak yang tidak menepati ciri keselamatan di kawasan Hutan Lipur Lenggeng, di sini.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Zaldino Zaludin, berkata sepasukan anggota polis peronda (MPV) yang menjalankan rondaan jenayah terserempak dengan semua remaja terbabit pada jam 11 pagi kelmarin.

Beliau berkata, remaja itu yang sedang beriadah mengaku basikal kepunyaan mereka dan pemeriksaan mendapati ia tidak menepati ciri keselamatan di bahagian lampu serta brek.

Katanya, sepasukan anggota Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai bergegas ke lokasi dan membawa semua basikal itu ke Balai Polis Lenggeng, di sini.

"Semua 55 remaja itu dibawa bersama sebelum ibu bapa mereka dipanggil ke balai. Semua yang hadir diberi nasihat oleh Ketua BPJKK IPD Nilai, Inspektor Jaslin Mian," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Zaldino berkata, dalam penerangan itu, ibu bapa memberi kerjasama dan reaksi positif, malah mereka menghargai tindakan polis kerana sebahagiannya tidak mengetahui aktiviti anak-anak.

Katanya, pihaknya memberi tempoh dua minggu supaya mengubah suai basikal ke bentuk asal dan semua yang ditahan dibebaskan dengan jaminan polis.

"Kami berharap orang ramai sedar penggunaan basikal lajak membahayakan dan operasi bertujuan membendung masalah sosial dalam kalangan remaja," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Peraturan 42 (1) (a) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 1959 dan Seksyen 112 (3) Akta Pengangkutan Jalan 1987, selain itu ibu bapa juga boleh disiasat mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001 kerana membiarkan anak tanpa pengawasan.

- Berita Harian - 

0 comments:

Post a Comment