Tuesday, 15 January 2019

Kenapa pembunuh Adib masih belum ditangkap? - Bapa





KUALA KEDAH: Walaupun sabar namun perasaan terkilan itu masih terasa.

"Kenapa siasatan terlalu lambat dan pembunuh anak saya masih belum ditangkap?"

Demikian luahan Mohd Kassim Abd Hamid, bapa anggota bomba Muhammad Adib ketika bertanya tentang siasatan kejadian yang mengorbankan nyawa anaknya.

Walaupun sedar keputusan inkues terhadap kes anaknya masih belum diterima, namun dia berharap siasatan itu berjalan dengan lancar.
"Sebagai seorang ayah mestilah ada tersentuh, tetapi alhamdulillah kita kena bersabar."

"Keadilan sewajarnya amat dinantikan anggota keluarga.


"Bagi saya pihak keluarga saya mengharapkan yang keadilan yang sebenar, inkues tu dapat berjalan dengan lancar."

Beliau berkata demikian kepada media ketika menerima ziarah Tengku Temenggung Kedah, Yang Teramat Mulia Tunku Puteri Intan Safinaz Ibni Almarhum Sultan Abdul Halim ke kediaman keluarganya di Kampung Tebengau, dekat sini, pada Selasa.

Gesaan untuk menyegerakan siasatan berkaitan kes Adib turut disuarakan Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) yang bercadang mengadakan perhimpunan besar-besaran di seluruh negara.

Pengerusinya, Aminuddin Yahaya menggesa kerajaan supaya mengambil tindakan segera dan menjalankan siasatan dengan telus mengikut undang-undang sedia ada.

Pada 27 Disember lalu, Peguam Negara dilaporkan akan mengarahkan Majistret untuk membuat inkues bagi menentukan sebab kematian Muhammad Adib.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) di Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Subang Jaya parah selepas diserang dan dipukul perusuh dalam kejadian kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November lalu.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember di Institut Jantung Negara (IJN) selepas 21 hari bertarung nyawa.

- ASTRO AWANI -

ORANG CINA DILANTIK BRIGEDIER JENERAL, APA SALAH?



Abam terbaca komen-komen nakal yang mempersoalkan perlantikan Brigedier Jeneral Loh Kooi Leong sebagai Panglima 1 Briged Infantri Tentera Darat.

Abam nak tahu, kat celah bedah mana salahnya kalau dia dianugerahkan 'one star general' ni? Nak tahu juga di saat beliau setengah mati menjalani latihan sebagai pegawai kadet, menjalani latihan payung terjun dan melalui berpuluh serta mungkin beratus kursus sebelum sampai kepada kedudukan sekarang, korang yang banyak komplen tu buat apa? 

Kooi Leong bukan sehari jadi pegawai tentera, dah berpuluh tahun. Banyak jawatan penting dan kritikal telah disandangnya. Pahit getir menjadi pegawai Tentera Darat telah dilalui dengan penuh disiplin dan profesional, jadi salahkah kalau beliau diberikan kedudukan yang sejajar dengan kebolehan dan pengalaman yang beliau miliki?



Sahabatku, janganlah nak jadi rasis tak tentu pasal. Mungkin tak ramai orang bukan Melayu dalam perkhidmatan tentera, tetapi itu bukan bermakna mereka 'tiada'.

Sejarah dan rekod menunjukkan ramai pegawai dan anggota bukan Melayu baik ATM mahupun PDRM yang terbunuh, cedera parah dan mendapat pingat-pingat keberanian tertinggi negara kerana keberanian dan kesanggupan mereka berjuang menentang komunis hingga ke titisan darah yang terakhir.


Pernah dengar nama mendiang Yeap Sean Hua? mendiang Foh Thean Kit? mendiang Chin Chin Kong? Itu antara pegawai keselamatan kita yang menerima anugerah tertinggi keberanian negara, Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) kerana sanggup menggadai nyawa demi keamanan negara. Itu baru sedikit yang abam sebut.



Masalah yang banyak cakap ni tak membaca. Bila tak membaca, otak jadi bebal. Bila otak jadi bebal, itu yang dok meroyan tak tentu hujung pangkal.

Tahniah Tuan Kooi Leong, jangan peduli cakap orang. Yang komplen tu entah-entah merekalah yang pertama lari bawah ketiak mak bila dengar bunyi peluru, kah kah kah.
Hormat Panglima!

Daripada - Syahril A Kadir


Lelaki ditahan miliki senapang angin buatan sendiri



MERSING: Seorang lelaki berusia 37 tahun ditahan bersama dua senapang angin buatan sendiri dalam serbuan polis di sebuah kediaman di FELDA Tenggaroh Timur 1, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing, berkata sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing ke lokasi hasil maklumat orang awam, pada jam 12.50 tengah malam, Rabu lalu.

Katanya, ketika serbuan, pintu bahagian tengah rumah berkenaan tidak berkunci, sebelum polis menjumpai suspek lelaki yang tinggal bersendirian sedang berehat dengan senapang angin buatan sendiri diletakkan di ruang tamu rumah itu.

“Hasil pemeriksaan, polis menjumpai dua senapang angin, selain 14 biji guli dalam beg jaring yang dipercayai digunakan sebagai peluru untuk memburu haiwan.


“Suspek ditahan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun dan denda atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Cyril berkata, polis menahan tiga lelaki berusia antara 26 hingga 34 tahun yang cuba lari ketika ditahan polis di Jalan Wawasan 20, Taman Wawasan, di sini, pada 21 Disember lalu.

Katanya, dalam kejadian jam 10.15 malam itu, kesemua suspek ketika itu menaiki dua kereta Audi serta Toyota Vios dan berada di tepi jalan dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan, polis merampas sepucuk revolver, 31 peluru pelbagai jenama, sejumlah peralatan yang disyaki digunakan bagi kegiatan pecah rumah, dua kereta dan tiga telefon bimbit,” katanya.

- BERITA HARIAN - 

Sunday, 13 January 2019

Adik sumbang mahram dengan kakak didakwa



KAMPAR: Seorang remaja lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan melakukan sumbang mahram dengan kakak kandungnya, sejak dua tahun lalu.

Tertuduh berusia 14 tahun mengaku bersalah atas pertuduhan itu sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nur Faizah Muhamad Saleh dalam prosiding yang diadakan secara tertutup.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan dengan kakak kandungnya berusia 16 tahun, yang mana perhubungan itu tidak dibenarkan undang-undang, hukum agama dan adat untuk berkahwin dengannya.

Kesalahan itu didakwa dilakukannya di sebuah rumah di Taman Diawan di sini antara Disember 2017 hingga Mei 2018.


Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan juga sebatan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Norashikin Hassanor manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Nur Faizah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin sebelum menetapkan 20 Februari untuk sebutan semula kes bagi menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Media sebelum ini melaporkan remaja lelaki berkenaan ditahan polis selepas mengaku mengadakan hubungan sumbang mahram dengan kakaknya sehingga melahirkan seorang bayi perempuan di dalam tandas rumah mereka di Taman Diawan, di sini, 15 Disember tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, perbuatan sumbang mahram itu terbongkar apabila kakak yang baru bersalin itu dibawa ke Hospital Kampar untuk mendapatkan rawatan jam 10 malam, hari yang sama.

Katanya, hasil soal siasat terhadap remaja perempuan itu mendapati dia mengaku sudah beberapa kali melakukan hubungan sumbang mahram dengan adik lelakinya pada Mei lalu di bilik belakang rumah mereka.

- BERITA HARIAN - 

Polis berjaya rampas Lori kontena muatan syabu


IPOH: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman merampas dadah jenis syabu dianggarkan berat ratusan kilogram dalam sebuah lori kontena pada operasi di Hentian Taiping, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara dekat sini, semalam.
Kenderaan berat itu ditahan melalui sekatan jalan di hentian berkenaan dengan bantuan pasukan polis Peronda Lebuh Raya (EMPV) kira-kira jam 4 petang.
Menurut sumber, lori kontena itu dalam perjalanan menuju utara dan diekori sepasukan polis dari JSJN Bukit Aman susulan dipercayai membawa muatan dadah jenis syabu.
“Kira-kira jam 3.40 petang, Unit EMPV Zon Utara diminta bantuan untuk menahan sebuah lori kontena dan seterusnya membuat penutupan jalan di Kilometer 212, Hentian Taiping arah utara.
“Sebaik lori kontena itu berjaya ditahan, sepasukan pegawai dan anggota JSJN Bukit Aman kemudian melakukan penggeledahan dalam kontena berkenaan,” katanya.

Sumber berkata, hasil pemeriksaan polis menemui beberapa kotak di dalam kontena itu yang didapati mengandungi dadah dipercayai syabu yang dianggarkan seberat 500 kilogram.
“Lori kontena itu kemudian diiringi ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping untuk siasatan lanjut,” katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Yahya Abdul Rahman, ketika dihubungi mengesahkan mengenai kes berkenaan namun memaklumkan maklumat lanjut dan sidang media berhubung rampasan itu akan dibuat oleh pihak Bukit Aman.
Pengarah JSJN Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh ketika dihubungi pula memaklumkan satu sidang media mengenai kejayaan rampasan dadah itu akan dibuat di Bukit Aman esok.
- Berita Harian -