Tuesday 26 June 2018

3 pasukan khas polis akan dimansuh



KUALA LUMPUR: Tiga pasukan khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan dimansuhkan dalam masa terdekat susulan penstrukturan semula beberapa jabatan dalam PDRM.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pemansuhan serta penstrukturan semula itu diharap dapat menjadikan PDRM dipandang tinggi oleh masyarakat.

Hari ini, Muhyiddin diberi taklimat pertama mengenai penstrukturan serta penyusunan semula jabatan dalam PDRM dan beliau menjangka ia dapat dimuktamadkan dalam tempoh satu atau dua minggu lagi.

"Menerusi taklimat ini, (saya dimaklumkan) rombakan bukan saja membabitkan penyusunan dalam jabatan tetapi termasuk dalam perjawatan," katanya ketika ditemui dalam Majlis Aidilfitri Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman, hari ini.

Yang hadir sama Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun; Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa.

"Beberapa pasukan khas ini yang sudah tertubuh lebih awal dulu dicadangkan untuk dibubarkan.

"Saya akan umumkan secara lengkap dalam seminggu dua lagi," katanya.

Sementara itu, Mohamad Fuzi ketika ditemui mengesahkan antara pasukan khas yang berkemungkinan dimansuhkan adalah Pasukan Tindakan Khas Antimaksiat, Judi dan Gangesterisme (STAGG), Pasukan Khas Taktikal Narkotik (STING) dan Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC).

Ditanya sama ada pasukan yang akan dibubar itu bakal digantikan dengan pasukan baru, beliau berkata, ia tiada dalam cadangan yang dikemukakan PDRM.

"Kita akan perhalusi dan siapkan laporan cadangan ini dalam tempoh terdekat. Rombakan membabitkan penstrukturan semula semua unit dalam PDRM ini," katanya.

0 comments:

Post a Comment