Monday, 11 June 2018

Polis periksa kuarters di Putrajaya



PUTRAJAYA: Pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman kini sedang melakukan pemeriksaan di sebuah kediaman kuarters di Presint 10, di sini dipercayai ada kaitan dengan bekas pemimpin negara.

Tinjauan wartawan di luar kediaman banglo dua tingkat itu mendapati, lebih 10 anggota berpakaian biasa berada di dalam kediaman itu termasuk memeriksa kotak-kotak besar yang di disimpan di dalam rumah berkenaan.

Malah, beberapa anggota dilihat turut memindahkan tiga kotak besar ke dalam sebuah van.
Difahamkan, anggota berkenaan mula menggeledah kediaman itu sejak tengah hari tadi.
Mereka dikatakan berada di lokasi berkenaan sejak pukul 1.25 tengah hari.

Kira-kira jam 3.10 petang, semua anggota JSJK termasuk empat buah kenderaan polis jenis Proton Preve dan sebuah van jenis Toyota yang meninggalkan kediaman berkenaan.

Bagaimanapun, beberapa anggota polis masih ditempatkan di kediaman itu untuk mengawal rumah berkenaan.

Sementara itu, seorang pesara kerajaan yang juga penduduk berhampiran kediaman berkenaan berkata, kediaman itu dikatakan sudah tidak didiami sejak setahun lalu.

Menurutnya, kediaman berkenaan di bawah seliaan Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH), Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan ia berada kira-kira 200 meter daripada Kompleks Seri Perdana.

Lebih 30 pengamal media tempatan mula berkumpul di hadapan rumah berkenaan sejak 1.30 tengah hari tadi bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai operasi geledah di kediaman itu.

Presint 10 adalah kawasan kediaman persendirian dan kuarters kerajaan yang mana ia pernah didiami bekas menteri di bawah pemerintahan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak termasuk pegawai-pegawai tinggi dan kanan kerajaan.

Difahamkan, anggota JSJK sudah seminggu berada di kediaman berkenaan untuk melakukan siasatan lanjut.

- Berita Harian - 

0 comments:

Post a Comment