Sunday 3 June 2018

Raja-raja Melayu adakan perbincangan khas Selasa ini



KUALA LUMPUR 3 Jun - Raja-Raja Melayu akan mengadakan perbincangan khas berhubung isu Peguam Negara di Istana Negara pada Selasa ini.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad berkata, warkah persilaan telah dikeluarkan pada Jumaat lalu kepada Raja-raja Melayu untuk me­ngadakan perbincangan khas itu.

“Ketika ini, Putrajaya dan Istana Negara belum ada persetujuan mengenai pemberhentian perkhidmatan Peguam Negara yang ada sekarang dan calon penggantinya.

“Raja-raja Melayu mengikuti perkembangan isu itu dan merasakan ada tanggungjawab untuk membantu menyelesaikan kekusutan ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau menambah, pelantikan Peguam Negara di bawah Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Perkara 145 (1) yang mana Yang di-Pertuan Agong hendaklah atas nasihat Perdana Menteri melantik seorang yang layak menjadi hakim Mahkamah Persekutuan sebagai Peguam Negara bagi Persekutuan.

“Manakala Perkara 145 (5) memperuntukkan Peguam Negara hendaklah memegang jawatan selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong dan boleh pada bila-bila masa meletakkan jawatannya dan melainkan jika individu itu adalah anggota Kabinet hendaklah menerima apa-apa saraan yang ditentukan oleh Yang di-Pertuan Agong,” jelasnya.

0 comments:

Post a Comment