Sunday, 3 June 2018

Saya tak lupa krisis Perlembagaan 1992 - TMJ

- Gambar Hiasan -

KUALA LUMPUR: Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim hari ini mengimbau layanan Kerajaan Persekutuan ke atas Istana Johor sewaktu krisis Perlembagaan pada tahun 1992.

Tunku Ismail berharap supaya sejarah hitam yang dilakukan kerajaan atas desakan tamak haloba dan gila kuasa itu tidak berulang.

"Saya tidak akan lupa krisis Perlembagaan yang berlaku pada tahun 1992. Saya masih ingat bagaimana keluarga saya dilayan oleh pegawai-pegawai Kerajaan Persekutuan.

"Saya masih ingat perkara-perkara seperti percubaan untuk membubarkan Askar Timbalan Setia Negeri Johor, .. Ahli EXCO Johor diberitahu untuk tidak menyambut Almarhum nenda saya di lapangan terbang, bagaimana JKR (Jabatan Kerja Raja) diberitahu untuk tidak membaik pulih dan memulihara segala apa-apa yang ada di Istana-istana Johor.

"Bonda saya diarah melangkah keluar dari kenderaan kerana mereka mahu memeriksa kenderaan dengan terperinci. Saya masih ingat segala-galanya dan saya masih ingat kepada individu-individu yang bertanggungjawab" katanya menerusi posting di Facebook JOHOR Southern Tigers.

Krisis Perlembagaan pada tahun 1992 berlaku ketika pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyaksikan usul menyekat kuasa dan kekebalan Raja-Raja Melayu dikemukakan pada sesi khas Parlimen, Disember 1992.

Sambil menyifatkan insiden terbabit sebagai perkara lama, Tunku Ismail berkata beliau yakin dengan kekuasaan Allah dan hukum karma selain menyifatkan hubungan kerajaan dan kerabat Diraja Johor pada hari ini berada dalam keadaan baik.

"Saya menghargainya. Saya berharap ia bukan hanya sekadar disebabkan kerana anda amat memerlukan kami. Memang baik sekiranya anda sedar bahawa kita saling memerlukan antara satu sama lain. Tetapi pada pendapat saya pada masa ini, tumpuan harus diberikan untuk memperbetulkan kesilapan dan mencapai kemajuan dalam negara.

"Saya berharap supaya sejarah hitam yang anda lakukan atas desakan tamak haloba dan sikap gila kuasa tidak akan berlaku lagi. Jangan manipulasi rakyat demi kepentingan diri sendiri kerana anda dilantik untuk berkhidmat kepada rakyat. Saya berdoa supaya kita boleh memberikan tumpuan untuk menjadikan negara kita ini tempat yang lebih baik pada masa akan datang, demi rakyat," katanya.

Tunku Mahkota Johor turut menjelaskan bahawa Sultan dan kerabat diraja Johor menyayangi rakyat negeri itu dan menjadi tanggungjawabnya untuk berkhidmat kepada rakyat.

"Keutamaan saya adalah hak anda sebagai rakyat Johor, dan kesejahteraan anda. Sentiasa ingat perkara ini. Kekuatan Kedaulatan Johor ialah perpaduan. Sentiasa kekal bersatu sebagai rakyat Johor.
Jangan beri peluang kepada sesiapa pun untuk membuli kita. Kita yang memutuskan apa yang baik untuk kita. Ini adalah rumah kita, negeri kita.

"Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk melindungi hak Johor dan kedaulatannya. ALLAH Peliharakan Sultan dan Negeri Johor Darul Ta'zim dan semoga ALLAH memberkati negara Malaysia," katanya.

- Berita Harian -

0 comments:

Post a Comment