Sunday, 10 June 2018

Ops Mega 3.0 gempur PATI seluruh negara 1 Julai



PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) akan melaksanakan Ops Mega 3.0 bagi menggempur pendatang asing tanpa izin (PATI) di seluruh negara, bermula 1 Julai depan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali, berkata operasi bersepadu bersama beberapa agensi lain itu, dilakukan selepas berakhir tempoh Program Penggajian dan Penempatan Semula PATI (Program Rehiring) pada 30 Jun ini.

Beliau berkata, pihaknya tidak akan melanjutkan program itu yang bermula 15 Februari 2016, sebaliknya penguatkuasaan dijalankan untuk membanteras lambakan PATI, tanpa kompromi dengan mana-mana pihak demi menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.

"Kita tidak tahu berapa lagi jumlah PATI masih berada di luar tetapi Jabatan Imigresen tetap tegas dalam menguat kuasa undang-undang. Kita akan mencari semua warga asing PATI di negara ini.

"Kepada majikan yang masih degil dan terus melindungi, menggaji serta membenarkan PATI tinggal di dalam premis, perlu diingat bahawa ia satu kesalahan berat.

"Mereka boleh dikenakan tindakan denda maksimum RM50,000, penjara tidak lebih lima tahun dan tidak lebih enam sebatan, jika sabit kesalahan," katanya pada sidang media khas berhubung Program Rehiring, di sini, hari ini.

Mustafar berkata, seramai 744,942 PATI dan 83,919 majikan berdaftar dalam Program Rehiring bagi tempoh 15 Februari 2016 hingga 28 Mei lalu melalui tiga vendor dilantik kerajaan.

"Daripada keseluruhan jumlah PATI itu, seramai 415,791 hadir ke Jabatan Imigresen untuk tujuan pemutihan.

"Daripada jumlah yang hadir itu, seramai 307,557 layak untuk diputihkan tertakluk pada keputusan pemeriksaan kesihatan oleh Agensi Pemantauan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (FOMEMA).

"Seramai 108,234 PATI pula tidak layak dan dimasukkan ke dalam program 3+1 untuk dihantar pulang ke negara asal oleh majikan serta vendor sebelum 30 Ogos tahun ini," katanya.

Seterusnya, Mustafar berkata, daripada 307,557 PATI yang layak diputihkan itu, 110,489 layak menerima Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), manakala bagi baki jumlah berkenaan, pihaknya masih menunggu PATI terbabit dan majikan tampil di pejabat Imigresen bagi proses biometrik.

Katanya, berdasarkan rekod 2014 hingga Mei lalu, pihaknya sudah menangkap 213,709 PATI dan 4,540 majikan.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, seramai 19,328 PATI dan 659 majikan dihadapkan ke mahkamah.

- Berita Harian -

4 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. Kenakan tindakan terhadap penjaga pintu belakang dalam agensi penguatkuasa....

    ReplyDelete
  3. Sila datang ke Kajang. Setiap hari Ahad ramai warga asing berkumpul di Metro Plaza. Mungkin ada antara mereka yang tidak mempunyai rekod pekerjaan yang sah. Terkadang mereka menaiki kereta saya (GrabCar), agak ramai juga yang mengaku tiada dokumen pekerjaan yang sah atas sebab2 tertentu.

    ReplyDelete
  4. Pekan lama Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

    ReplyDelete