Thursday, 17 September 2015

Impian kanak-kanak hidap kanser jadi Polis tercapai



Nibong Tebal – Impian seorang kanak-kanak lelaki yang menderita penyakit kanser kelenjar limpa untuk menjadi anggota polis walaupun hanya sehari, akhirnya menjadi kenyataan.

Mohamad Uzair Amzar Mohd Noor Azlan, 5, yang disahkan menghidap kanser sejak tahun lepas, hari ini diberi peluang memakai vest polis serta tag nama dengan pangkat Inspektor dan turut didedahkan dengan tugas-tugas polis.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata hasrat kanak-kanak itu direalisasikan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) di sini.

“Alhamdulillah, hari ini kami berjaya melaksanakan hasrat Mohamad Uzair  untuk menjadi polis. Dia diberi peluang memeriksa perbarisan kawad, melawat balai dan dibawa menaiki kereta peronda polis (MPV) yang saya pandu di sekitar kawasan ini,” katanya kepada pemberita di sini.

Sementara itu, bapa kanak-kanak itu, Mohd Noor Azlan Ahmad, 46, berkata anak bongsu dari tiga beradik itu memang bercita-cita untuk menjadi pegawai polis dan sentiasa menonton drama ‘Gerak Khas’.

“Setiap kali tengok polis atau rancangan di televisyen berkaitan polis, dia akan cakap mahu jadi polis. Hari ini impiannya tercapai walaupun hanya berlakon sebagai polis. Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak,” kata juru x-ray di Hospital Parit Buntar, Perak itu.

Beliau berkata anaknya itu menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan mereka yang tinggal di Taman Ilmu, di sini berulang sebulan sekali ke HKL.

Mohamad Uzair yang ditemui berkata beliau gembira kerana dapat menjadi  polis hari ini dan tidak akan melupakan pengalaman itu.

“Seronok dapat jadi polis, dapat naik MPV. Terima kasih semua polis,”  katanya, lapor Bernama.

0 comments:

Post a Comment