Sunday 6 September 2015

Tesco kesal pelanggan bawa anjing dalam troli



Tesco Malaysia mempunyai peraturan yang tidak membenarkan binatang peliharaan dibawa masuk ke dalam semua premisnya.


JOHOR BAHRU – Tesco Malaysia kesal dengan tindakan seorang pelanggannya yang membawa anjing peliharaan dalam troli pasar raya besar itu.

Dalam kenyataannya, Tesco Malaysia menjelaskan, pihaknya mempunyai peraturan yang tidak membenarkan binatang peliharaan dibawa masuk ke dalam semua premisnya.

“Kami amat kesal dengan kejadian anjing peliharaan salah seorang pelanggan kami dirakam di dalam troli kami di Tesco Extra Plentong.

“Kami ingin menjelaskan bahawa Tesco Malaysia tidak membenarkan binatang peliharaan untuk masuk ke dalam semua premis kami,” jelas kenyataan itu.

Sehubungan itu, ujar kenyataan tersebut, Tesco Malaysia bersama ahli jawatankuasa Masjid Plentong telah melakukan proses pembersihan serta-merta untuk memastikan semua troli bersih dan suci digunakan.

Perbuatan pelanggan terbabit yang membawa anjing peliharaannya dalam troli di Tesco Extra Plentong dipercayai berlaku Jumaat lalu berjaya dirakam oleh orang ramai yang kemudian memuat turun ke dalam media sosial hingga menjadi viral.

Akibatnya pengguna laman sosial mengkritik hebat perbuatan tersebut serta mahu Tesco Malaysia lebih sensitif dalam isu berkenaan.

Oleh Zamree Marhalim

0 comments:

Post a Comment