Saturday, 19 September 2015

‘Zul Badak’ maut ditembak dengan M-16



KUANTAN 18 Sept. – Seorang lelaki yang bertugas menguruskan keselamatan di sebuah kilang besi dekat sini terbunuh selepas terkena tiga das tembakan yang dilepaskan salah seorang daripada dua lelaki dalam kejadian berdekatan sebuah restoran di Jalan Tun Ismail di sini, hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 2.45 pagi itu menyebabkan mangsa, Arzurizan Abd. Rahman, 39, atau lebih dikenali dengan panggilan ‘Zul Badak’ yang juga aktivis sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu di daerah ini mati di tempat kejadian akibat cedera parah di leher, dada dan pinggang.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah negeri, Datuk Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, ketika kejadian mangsa baru selesai minum di restoran tersebut bersama empat rakannya yang berusia antara 26 hingga 30 tahun.

“Mangsa bersama dua rakannya termasuk seorang wanita kemudian menuju ke sebuah kenderaan utiliti sukan yang di­letakkan di tepi kedai tersebut untuk bergerak pulang.

“Ketika sampai di kenderaan itu, seorang lelaki yang memakai penutup muka tiba-tiba melepaskan tembakan dipercayai menggunakan raifal ke arah mangsa.

“Tembakan tersebut menyebabkan mangsa rebah dan meninggal dunia akibat kecederaan parah serta mengalami pendarahan teruk,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini hari ini.

Menurut Raja Shahrom, suspek melarikan diri bersama seorang lagi lelaki dengan menaiki kereta jenis Proton Waja menggunakan nombor pendaftaran palsu.

“Anggota polis yang menjalankan siasatan di tempat kejadian menemukan empat kelongsong peluru 5.56 serta satu slug dalam kenderaan mangsa,” katanya.

Berdasarkan maklumat awal, kata beliau, dua suspek yang tidak dikenali itu memakai topeng muka dan melepaskan tembakan dari jarak kira-kira 10 meter sebelum melarikan diri.

Katanya, dua rakan mangsa yang berada di dalam kenderaan itu bernasib baik kerana tidak terkena tembakan yang dilepaskan oleh suspek.

“Mereka juga sempat memba­ling batu ke arah cermin kereta suspek sebelum kedua-duanya melarikan diri. Setakat ini, kita belum dapat menentukan motif kejadian, banyak khabar angin kita dengar tetapi kita tidak boleh buat sebarang kenyataan rasmi selagi suspek utama tidak ditahan.

“Ini kali pertama kejadian tembak yang membabitkan penggunaan senjata berat raifal di negeri ini. Jika dilihat kepada jenis kelongsong peluru ditemukan di lokasi kejadian, biasanya senjata digunakan jenis M-16,” katanya.

- UTUSAN -

0 comments:

Post a Comment