Thursday, 3 September 2015

Lima anggota polis ditahan di premis judi


KUALA LUMPUR: Lima anggota polis, antara 10 individu yang ditahan dalam Ops Dadu oleh Jabatan Integriti dan Pemantauan Standard (JIPS) Bukit Aman di sebuah premis judi dekat Taman Bandaraya Kuchai, di sini, petang tadi.

Turut ditahan ketika bermain judi di premis itu adalah seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun serta empat warga Indonesia, masing-masing tiga lelaki dan seorang wanita, yang berperanan sebagai penjaga dan pembantu kedai.

Jurucakap polis berkata, serbuan jam 2.15 petang itu dilakukan bersama sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields.

Dalam serbuan itu, polis merampas masing-masing 23 set komputer, monitor, unit pemprosesan pusat (CPU) dan tetikus, selain dua modem dan satu set komputer kawalan utama serta wang tunai RM816.

"Daripada lima anggota yang ditahan, tiga adalah pemain manakala dua lagi berada di premis itu sebagai pengunjung.

"Dua daripada mereka berpangkat Koperal, dua lagi Lans Koperal, manakala seorang lagi berpangkat konstabel," katanya.

Beliau berkata, semua tangkapan ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 6(1)(C) dan Seksyen 15(1)(C) Akta Imigresen 1959/1963.

0 comments:

Post a Comment