Wednesday 11 April 2018

20 pegawai polis naik pangkat, bertukar



KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini, mengumumkan 20 pertukaran dan pelantikan pegawai kanannya berkuat kuasa pada 14 Mei depan.
Mendahului senarai adalah Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Deputi Komisioner Polis (DCP) Hashim Ali yang akan bertukar jawatan sebagai Timbalan Pengarah (Agama dan Kaunseling) Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.

Kekosongan jawatan beliau diisi Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk M.M.S Dev Kumar yang akan memangku pangkat DCP.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN) Bukit Aman, Datuk Asmawati Ahmad, berkata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, Datuk Salehhudin Abd Rahman pula bertukar ke jawatan Urus Setia KPN (Penyelidikan dan Pembangunan), Jabatan Pengurusan Bukit Aman.

Jawatan Salehhudin akan diisi Asisten Komisioner Polis (ACP) Jauteh Dikun yang kini Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Siasatan/Perundangan Sabah dengan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner (SAC).

Timbalan Ketua JSJ, Siasatan/Perundangan Sarawak, ACP Denis Leong Soon Kuai pula dilantik sebagai Ketua JSJ Sarawak dengan memangku pangkat SAC.

"Timbalan Ketua Cawangan Khas II Pahang, ACP Ibrahim Saad pula dilantik sebagai Ketua Cawangan Agensi Penguatkuasaan (Bahagian Perisikan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya dengan memangku pangkat SAC," katanya dalam kenyataan.

Pertukaran lain ialah ACP Pentadbiran Jabatan Pengurusan Sabah, ACP Zabidi Md Zain bertukar ke jawatan Timbalan Ketua JSJ, Siasatan Perundangan Sabah dan jawatan lamanya akan diambil alih ACP Abd Radzak Abd Ghani yang kini memegang jawatan Bahagian Pentadbiran Jabatan Pengurusan Sabah.

Pengarah Keselamatan (Gred KP52) Universiti Putra Malaysia, ACP Md Zamri Mat Zanu pula bertukar ke Perlis sebagai Timbalan Ketua Polis negeri.

Superintendan Perkhidmatan (Rekod Personel) Cawangan Perkhidmatan, Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Superintendan Low Kim Piew dilantik sebagai ACP Task Force Modern Policing, Bahagian Dasar Sumber Manusia di jabatan sama dengan memangku pangkat ACP.

Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintendan Habibi Majinji dilantik sebagai Penolong Pengarah JIPS (Kesejahteraan/Organisasi) Bukit Aman dengan memangku pangkat ACP.

Pegawai Turus Pematuhan (Zon A) JIPS Bukit Aman, Superintendan Thaipul Bahri Mokhtar dilantik sebagai Penolong Pengarah JIPS (Tadbir Urus/Kepolisan Am) Bukit Aman dengan memangku pangkat ACP.

Superintendan Inspektorat Helikopter, Pasukan Gerakan Udara (PGU) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Superintendan Mohd Shukor Abdul Razak dilantik sebagai Ketua Inspektorat PGU di jabatan sama dengan memangku pangkat ACP.

Superintendan Keselamatan Penerbangan, PGU Jabatan KDNKA Bukit Aman, Superintendan Alias Wahab dilantik sebagai Komander PGU Jabatan KDNKA Pangkalan Sarawak, dengan memangku pangkat ACP.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Som Sak Din Keliaw dilantik sebagai Timbalan Ketua JPJKK (Perancangan Strategik) Pulau Pinang dengan memangku pangkat ACP.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Kuala Muda, Deputi Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail dilantik menggantikan Som Sak dengan memangku pangkat Superintendan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Ismadi Borhan dilantik Ketua Polis Daerah Serdang, dengan memangku pangkat ACP.

Superintendan Polis Bantuan/Agensi Pengawal Keselamatan, Bahagian Koordinasi Sumber Sokongan, JPJKK Bukit Aman, Superintendan Mohd Shukri Ismail dilantik sebagai Timbalan Ketua JPJKK (Perancangan Strategik) Johor dengan memangku pangkat ACP.

Timbalan Komander (Kepolisan Am), Unit Tindakhas Pasukan Gerakan Khas Jabatan KDNKA Bukit Aman, Superintendan M.N M.V Srikumar dilantik sebagai Timbalan Komander (Operasi) Unit Tindakhas, Pasukan Gerakan Khas Jabatan KDNKA Bukit Aman dengan memangku pangkat ACP.

Timbalan Ketua Polis Daerah (Operasi) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Superintendan Mohamed Mokhsein Mohamed Zon pula bertukar Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor sebagai Ketua Jabatan KDNKA.

- Berita Harian -

0 comments:

Post a Comment