Wednesday 11 April 2018

Akhirnya Fitnah Terjawab. Keluarga Prebet Adam mohon maaf.



HAWA Jaafar (kiri) dan adiknya Arman Jaafar menunjukkan gambar abang sulung mereka Adam Jaafar ditahan polis selepas insiden amok di Chow Kit sehingga mengheret kesultanan Johor dengan fitnah membunuh ketika ditemui di kediaman mereka di Sungai Ara, Bayan Lepas, Pulau Pinang. - Foto Mikail Ong


Demikian luahan adik Prebet Adam, Hawa Jaafar, 53, yang menafikan adiknya dibunuh oleh Almarhum Sultan Johor, Sultan Iskandar Sultan Ismail semasa berkhidmat sebagai 'caddy' golf kepada Almarhum.

Beliau berkata, mereka sekeluarga terpaksa menahan malu dan marah selama 30 tahun, kerana tidak dapat menjelaskan perkara sebenar kepada masyarakat dan pihak berkuasa.

"Adam mengamuk di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur pada tahun 1987 kerana masalah di tempat kerja dan bukannya kerana adik kami dibunuh Almarhum Sultan.

"Semua adik beradik kami masih hidup, hanya seorang sahaja yang sudah meninggal dunia pada tahun 1975 kerana kejadian kebakaran di rumah," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Turut hadir, dua lagi adik Adam iaitu Arina Jaafar dan Arman Jaafar. Adam adalah anak sulung daripada sembilan beradik.

Mengulas lanjut, Hawa yang juga anak kedua daripada sembilan beradik berkata, mereka sekeluarga tidak pernah mengenali seorang pun keluarga kerabat Diraja Johor.

Malah katanya, mereka sekeluarga turut difitnah menerima wang sogokan sebanyak RM10,000 sebulan bagi menafikan perkara terbabit.

"Lihatlah kediaman saya, kami cuma orang biasa. Kami tidak pernah terima sesen pun duit daripada mana-mana pihak untuk nafikan hal ini," katanya yang tinggal di Pangsapuri Taman Desaria Sri Merpati, di sini, hari ini.

Kejadian amuk Prebet Adam di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur pernah menggemparkan negara pada 1987 dan mengakibatkan seorang lelaki terbunuh akibat terkena tembakan rambang.

- BERITA HARIAN - 

0 comments:

Post a Comment