Monday 30 April 2018

Kerajaan lulus 65,000 perjawatan baharu tahun ini. Termasuk PDRM.



KUALA LUMPUR: Sebanyak 65,000 perjawatan baharu diluluskan tahun ini bagi memenuhi keperluan beberapa jabatan dalam perkhidmatan awam, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Beliau berkata, pertambahan kakitangan awam itu berikutan permintaan mendesak daripada beberapa
jabatan.

"Antara sektor kritikal yang memerlukan pertambahan kakitangan adalah pendidikan, polis dan bomba," katanya selepas Majlis Amanat KSN bersama warga Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), di Angkasapuri, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha KKMM, Tan Sri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad dan Ketua Pengarah Radio Televisyen Malaysia (RTM), Datuk Abu Bakar Ab Rahim.

Ali berkata, pertambahan penjawat awam itu menyangkal dakwaan sesetengah pihak kononnya kerajaan akan mengecilkan saiz perkhidmatan awam.

"Amanat Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) sebelum ini sudah memberitahu bahawa kerajaan tidak akan mengecilkan saiz perkhidmatan awam, sebaliknya ada sektor kritikal yang perlu ditambah lagi perjawatannya.

"Kita tidak kurangkan pengambilan sebelum ini tetapi kekalkan dengan menggunakan pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) tetapi sekarang disebabkan permintaan lebih, kita kena tambah penjawat awam," katanya.

Sementara itu, Ali menyarankan kakitangan awam supaya membantu kerajaan berkongsi kejayaan dasar negara dengan rakyat menerusi media sosial dan tidak hanya mengharapkan kepada institusi saja seperti RTM dan KKMM.

Katanya, ini kerana era digital lebih banyak mendedahkan berita palsu berbanding apa sebenarnya yang dikecapi negara.

"Kita semua tahu berapa banyak kejayaan dicapai negara tetapi di media sosial ia tidak diberi keutamaan, sebaliknya hanya banyak perkara negatif.

"Dalam hal ini, kita tidak boleh bergantung kepada institusi saja, penjawat awam secara individu perlu membantu dekati rakyat. Jika 100 orang berkongsi dalam kumpulan WhatsApp atau akaun media sosial lain, lebih ramai rakyat akan tahu kejayaan kita," katanya.

- BERITA HARIAN -

0 comments:

Post a Comment