Wednesday 25 April 2018

SYABAS PDRM ! gambar penembak Imam Fadi didedahkan



KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengedarkan gambar sebenar salah seorang suspek yang menembak mati pensyarah Universiti Kuala Lumpur British Malaysia Institut (UniKL BMI), Dr Fadi M R AlBatsh Fatma dalam kejadian subuh, Sabtu lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dalam sidang media di Bukit Aman hari ini berkata, gambar sebenar itu berjaya diperoleh ekoran penemuan motosikal digunakan dua suspek berkenaan yang ditinggalkan berhampiran Tasik Danau Kota, semalam.

"Menerusi penemuan motosikal digunakan suspek yang ditinggalkan sejak Sabtu lalu di Tasik Danau Kota, iaitu selepas mereka menembak mati Fadi, PDRM berjaya mendapatkan gambar sebenar salah seorang suspek.

"Kita percaya, kedua-dua suspek masih berada di negara ini dan kita berharap agar orang ramai yang melihat serta mempunyai maklumat mengenai mereka dapat menyalurkannya kepada polis," katanya.

Mohamad Fuzi berkata, menerusi maklumat diterima, dua suspek berkenaan dipercayai masuk ke negara ini sejak penghujung Januari lalu menggunakan identiti palsu.
GAMBAR sebenar seorang daripada suspek sudah dikenal pasti. - Foto Aizuddin Saad
Malah, ketika ditanya sama ada suspek adalah ejen perisikan Mossad, beliau berkata polis tidak mempunyai maklumat mengenainya namun tidak menolak kemungkinan mereka terlatih dalam bidang ketenteraan.

"Berdasarkan maklumat yang diperoleh, dua suspek terbabit dipercayai masuk ke negara ini menggunakan identiti palsu.

"Malah, kita tidak menolak kemungkinan mereka mempunyai kemahiran dalam ketenteraan," katanya.

Menurut Mohamad Fuzi, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai dua suspek berkenaan boleh menghubungi pegawai penyiasat Asisten Superintendan Shahrizal Salleh di talian 017-7134705 atau menghubungi mana-mana balai polis terdekat.

- BERITA HARIAN -

0 comments:

Post a Comment