Sunday 27 May 2018

Pegawai polis cuba jual peluru ditahan



Kuala Lumpur: Seorang pegawai kanan polis diberkas selepas dikesan cuba menjual lebih 500 peluru hidup milik Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sumber berkata, suspek lelaki berusia 30-an ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang hasil maklumat yang diperoleh.

Menurutnya, suspek yang memandu sebuah kereta ditahan polis di Pusat Bandar Puchong jam 10.30 malam kelmarin.

Menurutnya, polis yang melakukan siasatan lanjut terhadap kereta milik suspek menemui satu tong peluru diletakkan di bahagian tempat duduk belakang penumpang kenderaan.

"Terdapat 11 kotak peluru pistol di dalamnya tong itu dengan setiap satu kotak berisi 50 butir peluru hidup.

Selain itu terdapat juga sekotak peluru mengandungi 19 butir peluru milik PDRM.
"Siasatan lanjut mendapati suspek cuba menjual peluru itu kepada pelanggan tertentu. Bagaimanapun polis masih menyiasat identiti pelanggan terbabit," katanya.

"Susulan itu suspek ditahan dan dibawa ke IPK Selangor untuk siasatan lanjut," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Ismadi Borhan ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 8A Akta Senjata 1960," katanya.

0 comments:

Post a Comment