SEREMBAN: Dua lelaki dipercayai anggota Geng Mamak ditembak mati di Jalan Chengkau-Pulau Mampat di Chengkau di sini, awal pagi tadi.
Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, anggota Jabatan Siasatan Jenayah Berat (D9) mengekori Honda Accord dinaiki suspek pada jam 12.15 tengah malam selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan di Lebuhraya PLUS.
Sumber berkata, polis menghampiri kenderaan dan mengarahkan berhenti namun pemandunya memecut menyebabkan anggota berkenaan mengejar sejauh tiga kilometer.
"Kereta dinaiki suspek berusia lingkungan 30-an membelok masuk ke Jalan Chengkau-Astana Raja dan polis terus mengejarnya sehingga satu kilometer, sebelum kenderaan itu dipintas.
"Sebaik tiba di lokasi, dua lelaki melarikan diri ke dalam semak manakala seorang suspek melepaskan beberapa das tembakan dan seorang lagi melibas parang ke arah anggota polis," katanya.
Menurut sumber, bagi mempertahankan diri polis terpaksa menembak mati dua penjenayah terbabit dan pemeriksaan pada tubuh mereka tidak menemui sebarang identiti.
"Polis merampas sepucuk revolver dan sebilah parang manakala pemeriksaan ke atas kereta mendapati kenderaan itu didaftarkan atas nama individu lain.
"Pemeriksaan lanjut menjumpai sebuah beg, alat pembesar suara, ves polis, lencana kastam, gari dan topeng manakala sepucuk pistol semi automatik ditemui di bawah alas kaki belakang pemandu," katanya.
Polis juga menemui beberapa dokumen, kalkulator, kunci kereta, kad kuasa polis palsu, dua jaket, parang, kapak, topi polis, lampu 'beacon' serta plet nombor pendaftaran kenderaan dalam but kereta.
"Buat masa ini usaha mengesan dua suspek yang melarikan diri giat dijalankan. Mayat penjenayah yang ditembak mati itu dihantar untuk bedah siasat di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ)," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Noor Azam Jamaluddin, berkata polis sedang menyiasat latar belakang suspek serta pembabitan jenayah mereka di negeri lain dan akan mengadakan sidang media esok.
- Berita Harian -
0 comments:
Post a Comment