Saturday, 26 May 2018

Polis Kuala Lumpur tolak pemberian coklat



KUALA LUMPUR: Polis menolak pemberian beberapa bungkusan coklat daripada peguam Siti Zabedah Kasim atau Siti Kasim bersama beberapa orang awam yang tampil di Balai Polis Hartamas di sini petang ini.

Mereka dilihat tiba di pekarangan balai polis berkenaan dengan membawa beberapa kotak berisi coklat pelbagai jenis pada jam 4 petang.

Bagaimanapun pemberian kesemua mereka yang ingin menghadiahkan coklat kepada warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditolak anggota dan pegawai di balai polis itu.
Mereka juga tidak dibenarkan memasuki ke dalam balai polis berkenaan.

Kumpulan yang diketuai Siti Kasim itu kemudian bertindak menyerahkan kesemua coklat berkenaan kepada anggota Bomba dan Penyelamat Sri Hartamas di balai yang terletak bersebelahan.

Siti Kasim menganjurkan kempen 'Jom Bagi Coklat Kat Abang dan Akak Polis' itu menerusi laman Facebooknya.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, polis Kuala Lumpur mengucapkan terima kasih kepada orang ramai kerana sudi menghadiahkan coklat sebagai tanda penghargaan kepada polis hari ini.

"Bagaimanapun polis Kuala Lumpur tidak dapat menerimanya kerana ada prosedur operasi standard (SOP) tertentu (yang mesti dipatuhi)," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Pemeriksaan Bernama di laman peristiwa Facebook yang dicipta Siti Kasim mendapati ramai netizen mendakwa pemberian coklat kepada anggota dan pegawai polis di kawasan lain turut ditolak.

- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment