Friday 25 May 2018

Polis masih belum terima laporan KP SPRM - KPN



KUALA LUMPUR: Polis sedia jalankan siasatan sekiranya Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull membuat laporan tentang ancaman yang diterimanya ketika menjalankan siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDD) pada 2015.

Bagaimanapun, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, memaklumkan sehingga kini pihaknya tiada menerima sebarang laporan berhubung kes berkenaan daripada mana-mana pihak termasuk daripada Mohd Shukri sendiri.

"Perkara itu berlaku sudah agak lama kecuali dia (Mohd Shukri) buat satu laporan polis baharu (maka polis akan jalankan siasatan).

"Ini kerana sebelum ini pun, tiada apa-apa laporan polis (berhubung kejadian itu) dan kita pun sedia maklum dengan apa yang dinyatakan oleh beliau (Mohd Shukri) tempoh hari," katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya wartawan berhubung tindakan polis terhadap dakwaan Mohd Shukri dalam satu sidang media di Ibu Pejabat SPRM, Selasa lalu bahawa dia diugut untuk dipecat, bersara awal, dipindahkan ke unit lain serta menerima ugutan peluru.

Mohd Shukri turut mendakwa terpaksa lari Washington bagi mendapatkan perlindungan setelah mendapat maklumat akan ditangkap atas pertuduhan melakukan konspirasi untuk menjatuhkan kerajaan, pada 31 Mei 2015.

Ketika di Washington, dia mendakwa diekori beberapa individu dikatakan dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang pada masa itu Ketua Polis Negara adalah Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Ditanya sama ada polis akan menjalankan siasatan terhadap bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, Mohd Fuzi berkata pihaknya belum mempunyai sebarang petunjuk lagi untuk berbuat demikian.

"Siasatan sudah pun dijalankan oleh SPRM, jadi biarlah SPRM jalankan siasatan daripada perspektif mereka dahulu.

"Kita akan tunggulah apakah perkembangan siasatan oleh SPRM itu," katanya.

Rabu lepas, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki mengesahkan merampas wang tunai RM500,000 susulan pemeriksaan ke atas tiga premis yang ada kaitan dengan Abdul Azeez iaitu kediamannya di Baling, Kedah dan Subang, Selangor serta pejabatnya di Jalan Tun Razak, di sini.

Ditanya mengenai kes pembunuhan wanita warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu, Mohamad Fuzi berkata, tiada keperluan untuk polis membuka semula siasatan berhubung kes itu buat masa ini sehinggalah pihaknya menerima maklumat baru.

- Berita Harian -

0 comments:

Post a Comment