Tuesday, 29 May 2018

Tiada lagi polis pengiring Dato' Sri Najib Razak

KUALA LUMPUR – Semua pegawai keselamatan, polis pengiring dan pegawai  bantuan ditugaskan  mengawal bekas Perdana Menteri, Datuk  Seri Najib Tun Razak telah ditarik balik.

Najib menerusi hantaran di Facebooknya menulis, hari ini beliau membalas tabik hormat dan mengucapkan selamat tinggal kepada kumpulan pengawal pengiring, Unit Tindakan Khas, polis pengiring dan pegawai, yang ditugaskan untuk menyediakan kawalan keselamatan dan bantuan kepadanya dan keluarga sama ada di Pejabat Perdana Menteri serta di kediaman rasmi Seri Perdana.

“Sejak beberapa minggu ini, kesemua pegawai keselamatan, polis pengiring serta pegawai bantuan yang ditugaskan kepada saya sudah ditarik balik oleh kerajaan baharu kecuali seorang pegawai ADC (Aide De Camp).

“Tak dapat dinafikan, mereka berselubung emosi dan ada yang menitiskan air mata ketika kami berlafaz kata perpisahan. Saya dan keluarga tidak akan lupakan jasa, persahabatan dan kesetiaan mereka sepanjang sembilan tahun ini, termasuk mereka yang sudah berjasa kepada kami selama 14 tahun semasa saya masih Timbalan Perdana Menteri,” tulisnya.

Beliau mengucapkan selamat maju jaya kepada pegawai-pegawai keselamatan berkenaan.
Najib kembali pada 7.48 petang tanpa polis pengiring.
“Sehingga kita bertemu lagi, saya ucapkan kepada mereka selamat maju jaya dan berharap mereka akan terus berkhidmat kepada kerajaan baharu dengan dedikasi dan kesetiaan yang sama ketika bersama saya.

“Saya juga mohon kerajaan baharu supaya sentiasa menjaga kebajikan mereka kerana mereka adalah anggota dan pegawai berdedikasi yang akan berkhidmat kepada kerajaan hari ini dengan penuh kesetiaan,” katanya.

Pada jam 6.45 petang tadi, Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor keluar dari kediaman mereka di Langgak Duta  masih diiringi polis namun, apabila  kembali semula pada 7.48 petang tanpa polis pengiring.

Najib kini berdepan dengan siasatan berkaitan penyelewengan SRC International.

- Sinar Harian -

0 comments:

Post a Comment