Tuesday 22 May 2018

KP SPRM disyor buat laporan polis - Tan Sri Muhyiddin



PUTRAJAYA: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull, diminta membuat laporan polis, jika benar menerima ancaman ketika menjalankan siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata tindakan hanya boleh diambil jika laporan polis dibuat dan wujud bukti 'prima facie' selepas siasatan dijalankan.

"Kalau ada laporan bahawa beliau diancam...polis kena siasat, perlu kemukakan fakta dan hasil siasatan.

"Itu prosedur operasi standard (SOP) kami dan kalau ada (bukti) prima facie, tindakan akan diambil," katanya pada sidang media selepas memulakan tugas rasmi di kementeriannya di sini, hari ini.

Beliau mengulas pendedahan Mohd Shukri yang mendakwa terpaksa meninggalkan Malaysia kerana merasakan nyawanya terancam ketika mengetuai siasatan skandal kewangan berkaitan SRC International Sdn Bhd, bekas subsidiari 1MDB, tiga tahun lalu.

Hadir sama Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun. Muhyiddin berkata, beliau yakin Ketua Pesuruhjaya SPRM itu tahu apa yang perlu dilakukan berhubung pendedahan terbabit.

Sementara itu, Mohamad Fuzi berkata, polis akan cuba menyelesaikan secepat mungkin siasatan skandal 1MDB yang kini mendapat perhatian ramai.

Beliau berkata, selain polis, siasatan kes itu turut membabitkan agensi lain, antaranya SPRM.
"Sebab itu saya tidak boleh ulas panjang. Bagi pihak polis, kami akan cuba selesaikan secepat mungkin," katanya.

Mengenai kemungkinan polis akan membuka semula siasatan kes kematian model Mongolia Altantuya Sharibuu, Mohamad Fuzi berkata beliau perlu berbincang dengan pegawainya terlebih sebelum membuat sebarang keputusan.

- Berita Harian - 

0 comments:

Post a Comment