ENAM BULAN BERCAMPUR GAUL DAN MENYAMAR ANGGOTA KOMUNIS
INSPEKTOR Sia Boon Chee adalah pegawai polis dari Cawangan Khas (SB). Namun atas keberanian dan kecerdikannya, Boon Chee berjaya 'menyeludup' masuk ke kem pengganas dan menyamar sebagai seorang anggota komunis yang setia.
Pada April 1981, iaitu setelah ENAM BULAN menyamar sebagai anggota komunis dan tinggal di dalam hutan, beliau telah diberikan tugas mencabar untuk memberkas anggota komunis yang bersembunyi di situ. Selama tiga minggu berturut-turut, Boon Chee dan rakan-rakannya menunggu di dalam hutan Slim River, iaitu dari pukul 7 pagi hingga 7 malam, menantikan kehadiran 'mangsa' mereka.
Pada 30 April tahun yang sama, mereka akhirnya terserempak dengan satu kelibat manusia berjalan ke arah kedudukan mereka. Ketika itu jam sudah menghampiri pukul 7 malam. Boon Chee yakin lelaki itu adalah Choong Peng, ketua pengganas komunis yang paling ganas dan paling dikehendaki pihak berkuasa.
Walaupun hari semakin gelap, namun Choong Peng dapat merasakan kehadiran anggota keselamatan yang datang untuk membunuhnya. Choong Peng kemudian terus mengeluarkan pistol yang terselit di pinggangnya, namun belum sempat apa-apa Boon Chee berjaya menembak mati Choong Peng.
Atas keberanian Boon Chee yg sanggup mempertaruhkan nyawanya MENYAMAR sebagai anggota komunis dan menembak mati ketua kumpulan pengganas itu, Boon Chee dianugerahkan pingat tertinggi negara Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) oleh Yang Dipertuan Agong ketika itu, Sultan Ahmad Shah pada 1 Jun 1983. Beliau bersara dari PDRM pada tahun 1994 dengan pangkat DSP dan kini membuka firma guamannya sendiri setelah lulus Ijazah Undang-Undang. SALUTE!
Kredit: Syahril A. Kadir
0 comments:
Post a Comment