Wednesday 29 July 2015

KPN beri amaran kepada penganjur protes di ibu negara


SHAH ALAM: Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar memberi amaran keras kepada penganjur protes yang dirancang diadakan di Kuala Lumpur, Sabtu ini supaya jangan menggugat keselamatan negara.

Beliau berkata, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba melanggar undang-undang dengan mengajak rakyat ke jalanan untuk menjatuhkan kerajaan seperti yang mahu dicapai oleh penganjur protes itu.



Katanya, maklumat mengenai protes itu yang tersebar menerusi media sosial juga akan disiasat pihaknya dan mengingatkan penganjur supaya segera menafikan perkara tersebut jika ia tidak benar.


"Kita ada undang-undang dan bukan boleh buat sebarangan untuk jatuhkan kerajaan.

"Kita ada cara ikut perlembagaan untuk tukar kerajaan, itu peringatan saya yang terakhir," katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Aidilfitri Ibu Pejabat Polis Selangor di sini hari ini.

Beliau mengulas penyebaran maklumat berhubung protes itu yang dirancang diadakan di sekitar sebuah pusat beli-belah di ibu negara untuk mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meletakkan jawatan.
Khalid berkata, sekiranya penganjur protes itu masih tidak mahu bertanggungjawab tentang penyebaran maklumat mengenainya, siasatan akan dijalankan dan mereka bakal berdepan tindakan tegas oleh polis.

Katanya, sebarang perhimpunan di negara ini boleh dianjurkan namun mereka mesti patuh kepada Akta Perhimpunan Aman 2012.

Sebuah portal berita semalam menerbitkan satu kenyataan media sebuah kumpulan menamakan diri mereka sebagai 'Demi Malaysia' yang dikatakan bertanggungjawab menganjurkan protes itu.
- BERNAMA

Like Facebook: Friends Of PDRM​ (CLICK)

0 comments:

Post a Comment