PETALING JAYA: Akibat menggoncang bayi dengan kuat sehingga menyebabkan pendarahan dalam otak dan mata tiga tahun lepas, seorang pemilik taska dipenjara lima tahun oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Mohd Nazri Omran juga memerintahkan Nurul Shahidatul Afzan Zainal, 32, membayar pampasan RM40,000 kepada keluarga mangsa atau penjara 12 bulan, jika gagal membayar pampasan itu.
Mohd Nazri memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula hari ini. Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan peguam Mohd Yusmadi Yusoff yang mewakili tertuduh untuk penangguhan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi, namun memerintahkan tertuduh menjelaskan bayaran pampasan itu.
Dalam penghakimannya, Mohd Nazri berkata selepas mendengar keterangan daripada 11 saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan, mahkamah berpuas hati dan memutuskan pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
"Tertuduh disabitkan dan didapati bersalah terhadap pertuduhan," katanya. Nurul Shahidatul Afzan, yang juga pengasuh taska, didakwa melakukan penganiayaan kepada seorang bayi perempuan, yang ketika itu berusia tiga bulan, dengan menggoncangnya dengan kuat sehingga menyebabkan pendarahan dalam otak dan mata di Pusat Jagaan Nur Kasih, Jalan USJ 1/4P, di sini pada 5.23 petang 24 Feb 2012.
Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali. Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Siti Fatimah Yahya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat yang dapat memberi pengajaran kepada tertuduh dengan mengambil kira faktor kecederaan yang dialami mangsa.
"Mangsa dalam kes ini mengalami pendarahan dalam otak dan mata akibat perbuatan tertuduh yang memberi kesan sangat besar terhadap mangsa dan keluarga malah tidak lagi (normal) seperti kanak-kanak biasa lain.
"Pohon mahkamah juga mengambil kira keadaan mangsa ketika kejadian adalah 'vulnerable victim'.
Mangsa hanya berusia tiga bulan dan perbuatan tertuduh menggoncang mangsa yang masih lembut adalah perbuatan sangat zalim," katanya.
Peguam Mohd Yusmadi bagaimanapun memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya mempunyai rekod cemerlang dan berpengalaman lebih tujuh tahun dalam mengendalikan taska.
"Tidak ada sebarang kecelakaan atau jenayah berlaku malah rekod itu (cemerlang) mendapat sokongan ibu bapa yang menghantar anak ke situ.
"Tertuduh juga sepanjang hidupnya tidak pernah terbabit dengan kes jenayah dan sentiasa memberi kerjasama yang baik," katanya yang turut memaklumkan bahawa anak guamnya mengalami penyakit asma.
Sementara itu, ibu mangsa, Siti Zahariah Zahari, 32, ketika memberikan kenyataan impak mangsa berkata semasa anaknya dilahirkan, dia berada dalam keadaan sempurna dan sihat.
Namun katanya, selepas kejadian itu setiap malam anaknya, yang kini berusia empat tahun itu sering diserang sawan dan perlu dibawa berubat.
"Mata kanannya juga rosak teruk. Dia juga tidak mahu makan dan saya berikan dia makan nestum dan susu sahaja. Saya juga bimbangkan keadaannya kerana dia takut dengan dunia luar," katanya sambil menangis teresak-esak. - BERNAMA
Like Facebook: Friends Of PDRM (CLICK)
0 comments:
Post a Comment