Monday, 20 July 2015

Dua bekas KPN gesa siasat isu jatuhkan kerajaan tanpa melalui proses demokrasi



KUALA LUMPUR: Dua bekas Ketua Polis Negara menggesa polis menyiasat mana-mana pihak yang cuba mengancam ketenteraman dan keselamatan negara untuk menjatuhkan kerajaan.

Ketua Polis Negara kelima, Tan Sri Abdul Rahim Mohd Nor, berkata polis harus membuka kertas siasatan dengan segera kerana menjadi tanggungjawab mereka menangani cubaan pihak yang terbabit dalam usaha menjatuhkan kerajaan secara tidak sah dan membelakangkan undang-undang negara.

"Cara yang sah untuk menukar kerajaan adalah mengikut undang-undang menerusi pilihan raya. Usaha selain daripada itu dikira salah dari segi undang-undang dan Perlembagaan negara," katanya.

Ketua Polis Negara keempat, Tun Mohammed Hanif Omar, pula berkata tidak salah bagi parti pembangkang cuba menjatuhkan kerajaan tetapi ia mesti mengikut undang-undang dan Perlembagaan negara.

Mohammed Hanif dan Abdul Rahim berkata demikian sebagai mengulas laporan yang mendakwa ada pihak cuba menjatuhkan kerajaan dengan cara mengancam keselamatan dan ketenteraman negara.

Abdul Rahim bagaimanapun tidak setuju dengan cadangan menubuhkan pasukan siasatan khas kerana khuatir ia akan menimbulkan suasana panik dalam kalangan orang ramai.

"Apa yang penting adalah memulakan siasatan dan saya percaya polis sedang berbuat demikian," katanya.
Mohammed Hanif pula berkata, sebarang cubaan menjatuhkan kerajaan tanpa mengikut undang-undang dan Perlembagaan negara adalah satu kesalahan besar dan bertentangan dengan kedudukan Malaysia sebagai negara demokrasi berparlimen.

"Dalam hal ini tugas polis sebagai badan penguatkuasa undang-undang adalah menjalankan siasatan bagi mengetahui sama ada tindakan yang dilakukan pihak terbabit melanggar lunas undang-undang dan Perlembagaan negara," katanya. - BERNAMA

0 comments:

Post a Comment