Saturday 1 August 2015

29 ditahan disyaki terbabit perhimpunan haram di KL



KUALA LUMPUR: Seramai 29 individu termasuk enam wanita ditahan kerana disyaki terbabit dalam perhimpunan haram, yang dianjurkan beberapa kumpulan di hadapan sebuah kompleks beli-belah di ibu negara hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajudin Md Isa berkata dalam kejadian kira-kira 2.15 petang itu, semua individu terbabit yang ditahan berumur dalam lingkungan 14 hingga 69 tahun.

"Mereka disiasat di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan, iaitu sesiapa yang menjadi seorang anggota sesuatu perhimpunan yang menyalahi undang-undang, hukumannya boleh dipenjara selama tempoh sehingga enam bulan, atau denda, atau kedua-duanya.

"Siasatan juga dijalankan di bawah Seksyen 124 Kanun Keseksaan, iaitu aktiviti-aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen, dan boleh membawa hukuman penjara selama tempoh 20 tahun," katanya menerusi kenyataan media, di sini, hari ini.

Tajudin berkata, semua individu ditahan itu akan dihadapkan ke mahkamah bagi mendapatkan perintah tahanan reman untuk membantu siasatan polis.

Perhimpunan haram itu, yang mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berundur, gagal mendapat sambutan selepas ia hanya dihadiri kurang 100 orang peserta berbaju hitam. - BERNAMA

0 comments:

Post a Comment