Thursday, 20 August 2015

Dakwaan 'pembersihan' di Cawangan Khas, fitnah - KPN



KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan dakwaan kononnya proses penggantian pucuk pimpinan Bahagian Cawangan Khas Bukit Aman sebelum ini dibuat sebagai sebahagian daripada proses 'pembersihan'.

Menyifatkan ia fitnah, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, sebaliknya menjelaskan penggantian membabitkan jawatan Pengarah dan Timbalan Pengarah di bahagian terbabit sebelum ini adalah satu perkara biasa.

"Dakwaan bahawa Cawangan Khas sedang melalui proses 'pembersihan' bagi menggantikan pucuk pimpinan tertingginya dengan Pengarah dan Timbalan Pengarah yang baharu adalah fitnah semata-mata.

"Datuk Seri Mohammad Fuzi Harun (sebelum ini Pengarah Pengurusan Bukit Aman) sendiri adalah bekas pegawai Cawangan Khas, amat berpengalaman dan dilantik menggantikan Datuk Seri Akhil Bulat (bekas Pengarah Cawangan Khas) yang bersara selepas beberapa kali dilanjutkan tempoh kontrak perkhidmatannya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Khalid mengulas beberapa laporan media sebelum ini berhubung pertukaran beberapa individu dalam Cawangan Khas dengan mengaitkan kononnya ia mempunyai campur tangan pihak tertentu.

Beliau menjelaskan, dakwaan beberapa media kononnya majlis serah tugas yang dibuat secara tertutup dengan kiasan ia atas sebab tertentu juga, dilihat satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab.

"Majlis sebegini bukanlah satu perkara yang luar daripada kebiasaan dan amalan dalam PDRM, lebih-lebih lagi bagi Cawangan Khas yang tidak pernah mencari publisiti," katanya.

Khalid turut menjelaskan bahawa Timbalan Pengarah Cawangan Khas I, Datuk Abdul Hamid Bador tidak pernah diarah untuk bercuti, sebaliknya percutian beliau adalah atas permohonannya sendiri dengan tujuan untuk berehat.

Katanya, Abdul Hamid juga sedia maklum mengenai pertukarannya ke Jabatan Perdana Menteri (JPM) ditawarkan selepas beliau menarik balik hasrat untuk bersara awal.

"Pertukaran Abdul Hamid sebagai Timbalan Pengarah Isu-Isu Keselamatan dan Transnasional (SIS) (di JPM) adalah sebagai satu pengiktirafan atas kemampuan dan pengalaman beliau dalam menangani isu-isu keselamatan.

"Pertukarannya keluar dari PDRM bukanlah sesuatu 'out of the ordinary'. Sebelum ini, Tan Sri Bakri Omar; Tan Sri Zaman Khan; Datuk Seri Zulkifli Md Noor dan saya sendiri pernah ditempatkan di beberapa agensi kerajaan bagi tujuan memenuhi tuntutan dan keperluan semasa," katanya.

Justeru, Khalid mahu media lebih berhati-hati dalam menyiarkan berita kerana laporan yang tidak tepat akan mengundang pelbagai bentuk implikasi dan boleh menjejaskan ketenteraman awam.

0 comments:

Post a Comment