Wednesday, 12 August 2015

Polis Kenal Pasti Suspek Pecah Masuk Rumah Timbalan Menteri



PUTRAJAYA, 12 Ogos (Bernama) — Polis telah mengenal pasti suspek dalam kes memecah masuk kediaman seorang timbalan menteri di Presint 10 di sini, Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, ACP Rosly Hassan berkata suspek warga Myanmar berumur 23 itu dikenal pasti melalui kesan cap jari pada balang kaca di dalam rumah berkenaan.

“Pemeriksaan menemui 15 kesan cap jari pada bekas makanan tersebut, namun analisis lanjut mendapati cap jari suspek lebih dominan dan masih baharu.

“Kesan cap jari itu sepadan dengan data peribadi suspek yang pernah ditahan Imigresen Pulau Pinang pada 2010 sebelum dihantar pulang ke negara asalnya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya di sini Selasa.

Dalam kejadian itu, mangsa yang menghuni rumah tersebut sejak Mac 2010 kehilangan komputer riba, jam tangan dan wang tunai dengan jumlah kerugian keseluruhan sebanyak RM28,300.

Kejadian dipercayai berlaku semasa timbalan menteri dan isterinya yang tinggal berdua di rumah itu berada di Kuching, Sarawak untuk tugasan rasmi dan hanya menyedari rumahnya dimasuki pencuri selepas kembali semula pada Ahad apabila mendapati tingkap belakang rumahnya diumpil.

Rosly berkata suspek yang pernah diusir kerana memasuki Malaysia tanpa dokumen sah itu dipercayai telah memasuki semula negara ini dan dikatakan berada di sekitar Putrajaya, Bangi, Sepang serta Banting dan gerakan memburunya telah digerakkan.

Katanya kejadian itu juga dipercayai dilakukan lebih daripada seorang berdasarkan maklumat daripada penduduk yang mendakwa melihat sebuah kenderaan berlegar di hadapan rumah tersebut semasa hari kejadian.

Dalam pada itu, Rosly berkata secara amnya kawasan penempatan penduduk di Putrajaya adalah selamat dengan hanya 33 kes pecah rumah direkodkan tahun ini.
“Daripada kes yang direkodkan kebanyakan kejadian adalah disebabkan kecuaian tuan rumah, antaranya gemar meninggalkan kunci rumah di dalam pasu bunga dan kasut,” katanya.
— BERNAMA

0 comments:

Post a Comment