Friday 14 August 2015

Aktiviti komunis di Kajang dan Semenyih, Selangor




1948 pihak berkuasa telah menjumpai satu tempat simpanan senjata komunis di Kajang. Senjata ini dipercayai senjata yang dibekalkan oleh British semasa pendudukan Jepun dahulu.

Pada 27 Jun 1948, seorang mandur penoreh getah berangsa Cina di Estet Braemar , Kajang telah ditembak mati di luar sebuah kedai di sebuah kampung kecil di Sungai Kantan pada 10.15 malam. Dalam badannya diselitkan secebis nota dalam bahasa Cina yang berbunyi " to destroy labour thief" Estet Braemar ialah Taman Saujana Impian, Kajang sekarang ini.

Pada 23 Julai 1948, pendaftaran kebangsaan dan penggunaan kad pengenalan telah diperkenalkan di seluruh Tanah Melayu. Ia bertujuan untuk membezakan penduduk yang mematuhi undang-undang dengan mereka yang berniat untuk menyebarkan unsur subversif. Mereka yang tiada kad pengenalan akan dituduh sebagai komunis.

Julai - 2 November 1948 beberapa kejadian subversif berlaku di Kampung Kachau, Semenyih .

Julai 1948 seorang kanak-kanak lelaki British telah dibunuh di Kampung Kachau, Semenyih.

Sejak 10 Ogos 1948 kedai-kedai Cina yang meriah di Kajang ditutup , jalan raya yang sibuk menjadi lengang kerana ancaman dan ungutan komunis

15 Ogos 1950 pengurus ladang getah Sir Day dari Ladang Glenshiled , Kajang dibunuh. Turut terbunuh 2 polis konstable dan keraninya Lee Bien Chee. 13 orang pengganas komunis membunuh mereka ketika dalam perjalanan ke Sungai Reko. Turut hilang wang RM4062.30 , 1 senapang riflle jenis 313 , senapang pendek.

Jam 2 pagi, 2 November 1948, segerombolan komunis telah membakar rumah asap dan gudang getah di Ladang Dominion jam 2.00 pagi . Semenyih. Mereka mengancam seluruh penduduk Semenyih .

2 November 1948 Rumah-rumah setinggan Cina dan kedai-kedai di Kampung Kachau, Semenyih telah dibakar oleh pasukan keselamatan British dan diarahkan pindah ke pekan Semenyih, Seremban dan negeri Johor. Sebahagian yang lain diarahkan pindah ke Kampung Baru Semenyih. Kampung Kachau ini disyaki menjadi tempat persembunyian komunis . Di belakang Kampung Kachau ada sebuah bukit dan dijadikan sebagai kubu komunis. Kini tempat tersebut dijadikan Tanah Perkuburan Nirwana , Semenyih.

Seluruh kampung telah hangus dijilat api. Lebih kurang 500 penghuni kehilangan tempat tinggal. Mereka diarahkan pindah dalam tempoh sejam pada malam itu juga . Mereka turut berdepan dengan kekurangan makanan. Sebanyak 61 buah rumah di Kampung Kachau ( berhadapan dengan rumah Cikgu Abdul Azis bin Mohd Noor di Kampung Pasir / Kampung Kachau ) telah dibakar. Kesan-kesan peninggalan tapak rumah yang terbakar masih ada sehingga sekarang. Contohnya perigi, batu lapik tiang rumah , tapak kedai dan lain-lain. Kebanyakan ialah rumah setinggan Cina dan deretan beberapa buah kedai Cina.

Pihak pengganas komunis telah melancarkan serangan hendap ke atas penduduk kampung di Kajang dan Semenyih sehingga menyebabkan seorang pengurus ladang terbunuh.

2 November 1949 polis menangkap 500 orang yang disyaki menjadi talibarut komunis di Semenyih dan Kajang. Polis telah menemui 10 buah khemah dan 13 pondok atap. Kebanyakan mereka ialah orang tua, kanak-kanak dan kaum wanita. Sedangkan kaum lelaki majoritinya telah masuk ke hutan menyertai pengganas komunis. Penahanan dan pembakaran pondok atap setinggan-setinggan Cina ini telah menyebabkan penghuni mencari perlindungan di bandar atau di Kuala Lumpur dan menyebabkan kesesakan di bandar.

Seramai 2000 penduduk Balakong diarahkan pindah kerana bersimpati dengan komunis . Mereka turut memberi bantuan ubat, makanan , wang dan pelbagai peralatan lain kepada pengganas komunis. Sebahagian mereka membantu komunis secara paksa atau sukarela.

Pada 1950 seramai 60 penduduk setinggan sekitar Semenyih telah ditahan oleh pihak komunis atas tuduhan kerana memberi bantuan kepada komunis. Mereka merahsiakan maklumat tentang pergerakan komunis di Semenyih. Sebaliknya mereka memberi pelbagai jenis bantuan secara sukarela kepada pengganas komunis.

28 Februari 1950 pembunuhan seorang guru di sebuah sekolah Melayu di Semenyih . Tapi kes ini tidak dilaporkan kerana ketika itu mahu merahsiakan kes pembunuhan tersebut oleh pengganas komunis.

Pada 12 Mac 1950 kira-kira jam 11 pagi, tiga pengganas Cina bersenjata menembak mati dua orang Melayu di Ladang Kampung Kachau , Semenyih , Selangor ketika mangsa sedang memetik buah kelapa.

Sebuah lori yang membawa susu getah dalam perjalanan menuju Estet Sungai Tangkas , Bangi telah diserang hendap oleh pengganas komunis. Pemandu lori dibunuh dan lori telah dibakar. Semua penoreh getah di ladang itu diancam bunuh ketika menoreh getah lagi.

Pada Disember 1950, seorang [[Pegawai Daerah] Mantin , ngeri Sembilan bersama 5 orang polis konstable dan 1 polis berbangsa Cina telah di serang hendap di Batu 11 , Semenyih. Tempat itu berhampiran dengan Kampung Sungai Pening berhampiran dengan Perkuburan Cina Nirwana dan air terjun Sungai Tekala, Semenyih .

Pada 1950 Sarjan Blenkinsop , seorang pegawai British bersama SC Jarmari, SC Haji Abdul Ghani , SC Akri dan SC Basir dan seorang pekerja ladang dan jip polis mereka telah diserang hendap di Batu 15, Jalan Jekang, Dengkil ketika dalam perjalanan ke Ladang Teras Jernang , Bangi . Sarjan Blenkinsop dan SC Abdul Ghani terbunuh.

Sir Harold Brigg mengklasifikasikan Kampung Kachau sebagai kawasan komunis yang aktif. Tambahan pula sejak 30 Oktober 1948, bilangan setinggan Cina meningkat secara mendadak di Semenyih . British telah mengadakan ‘operasi Menyoal siasat di Kampung Kachau ‘ pada 20 Julai 1948. Rumah-rumah setinggan ini disyakki menjadi rumah persembunyian komunis.

25 Januari 1950 seorang penghulu Hulu Langat telah ditembak . Beliau telah cedera dan keretanya rosak teruk. Beliau dalam perjalanan pulang dari pejabat ke kampungnya.

1950 kerajaan bertindak melaksanakan Peraturan Darurat 17D untuk memutuskan hubungan penduduk Semenyih dengan pihak komunis. Di bawah peraturan tersebut , seramai 1500 penduduk Semenyih telah dipindahkan dan dihantar ke pusat pemulihan di Kluang, Johor.

Seramai 6 orang penduduk Sungai Long , Kajang telah ditangkap oleh polis berikutan penemuan enam buah khemah komunis . Mereka telah ditahan di Kajang dan kemudian dihantar pulang ke negara China. Tindakan ini dibawah Peraturan Darurat 17D . Beberapa orang penduduk di Sungai Jelok. Kajang turut dikenakan tindakan yang sama. Terdapat banyak ladang getah dan kawasan bukit-bukit di Sungai Jelok . Sebahagian kawasan Sungai Jelok telah dibina Penjara Kajang dan lebuhraya Seremban - Kajang ( Kajang - Seremban Highway KASEH ) .

15 Februari 1951 seramai 1500 penduduk melayu Jenderam, Sepang, Selangor telah dipindahkan ke kem tahanan Kluang , Johor . Kebanyakan pengganas komunis Melayu yang beroperasi di sempadan Selangor dan Negeri Sembilan datangnya dari pemuda Melayu Kampung Jenderam. Mereka ada pertalian persaudaraan atau berasal dengan tokoh komunis seperti Tan Malaka dari Sumatera, Indonesia.

Pada 28 Mac 1951 , jam 9 pagi , Wong Kim Poh yang bertugas sebagai Timbalan Pegawai Penempatan Semula telah ditembak mati oleh pengganas komunis dalam satu serang hendap di Balakong . Beliau bertugas bersama dengan kontraktor dan beberapa orang pekerja penempatan semula.

Pada 1 Julai 1951, perintah darurat dilaksanakan di Kajang, Semenyih dan Broga akibat pembunuhan enam pegawai polis dalam satu kejadian serang hendap.

Menurut W.G.S Cony, terdapat 46 buah kampung baru di Selangor.Antaranya ialah Kampung Baru Semenyih dan Kampung Baru Melayu ( Kampung Sentosa ) Semenyih.
13 Januari 1953, kerajaan mengumumkan catuan dan kawalan makanan di selatan Selangor bagi menghapuskan saki baki gerombolan pengganas komunis di Kajang.

Polis memburu secara besar-besaran ketua pengganas komunis bernama Liew Kon Kim di Sungai Pelek, Sepang. Liew Kon Kim ada janggut dan orang Melayu Semenyih menggelarnya Janggut sahaja.

Pada 1954 pengasas pengganas komunis bernama Liew Kon Kim dan Lau Cheng telah dapat dibunuh di Kuala Selangor .Tempat operasi Liew Kon Kim ialah di sekitar Sungai Jelok . Dia telah melarikan diri ke Kuala Selangor.

16 Januari 1956 - Timbalan Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya bernama Yeong Kwo telah dapat dibunuh . Kawasan utama operasinya ialah di Semenyih dan Kajang . Pembunuhan ini memberi tamparan hebat kepada pergerakan pengganas komunis. Moral mereka semakin merosot untuk berjuang. Pengganas komunis yang terselamat telah menyerah diri dan keluar dari hutan. Sebahagiannya pula berundur ke kawasan sempadan Thailand.

31 Julai 1960 Darurat diisytiharkan tamat setelah mendapati pergerakan komunis semakin lemah dan berjaya dipatahkan.

Namun sakibaki komunis masih wujud dan bertempur dengan tentera Malaysia di Lebuhraya Timur Barat terutama dalam Operasi Gonzales.

2 Disember 1989 , Perjanjian Perletakan Senjata antara Kerajaan Malaysia , Kerajaan Thailand dengan Parti Komunis Malaya telah dibuat di Hotel Le Garden , Haadyai, Thailand ditandatangani .Perjanjian ini dinamakan Perjanjian Haadyai. Ini berikutan keruntuhan kerajaan komunis di Rusia dan Kerajaan komunis China tidak berminat lagi membantu Parti Komunis Malaya. Turut serta dalam perjanjian tersebut ialah Chin Peng, Rashid Maidin, Dato Rahim bin Noor, Dato Megat Junid Megat Ayub dan lain-lain.

Foto - Pasukan Keselamatan telah berjaya menangkap 6 orang anggota
komunis wanita di Kuala Langat pada 3 Mac 1953.

0 comments:

Post a Comment