Tuesday 25 December 2018

NGO, OKU sertai perhimpunan aman menuntut keadilan bagi Muhammad Adib




KLANG: Lebih 1,000 peserta Perhimpunan Aman Keadilan Untukmu Adib & Desakan Pecat P Waytha Moorthy menyertai solat jenazah ghaib yang dianjurkan Gerakan Masyarakat Malaysia (GERAS) di Masjid Bandar Diraja, di sini, hari ini.

Solat jenazah ghaib itu diimamkan oleh imam masjid, Mohd Azrun Tuniran, selepas solat asar berjemaah sebentar tadi.

Selain GERAS, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyertai perhimpunan aman itu adalah Gerakan Srikandi Malaysia (GSIM), Angkatan Laksamana Bukit Jati Klang (ALBJ), Badan Amal Tarbiyah Sejagat (BATAS), Pertubuhan Ikatan Muafakat Serumpun Malaysia (SERUMPUN) dan Kebajikan Sejagat Malaysi (SEJAGAT).

Sebaik saja selesai solat jenazah ghaib, peserta perhimpunan berarak sambil berselawat sejauh 500 meter ke Dataran Seni termasuk sekumpulan orang kelainan upaya (OKU) yang turut menyertai mereka bagi memberi sokongan.


Seorang daripada mereka, kakitangan swasta yang hanya mahu dikenali sebagai Azlan, 43, dilihat bertongkat sepanjang perjalanan ke dataran berkenaan.

Beliau yang juga OKU sejak lahir, berkata kehadirannya pada hari ini adalah untuk bersama rakan-rakan bagi memberi sokongan menuntut pembelaan kematian Muhammad Adib.

"Saya terpanggil untuk menyertai perhimpunan ini berikutan ia adalah suara rakyat yang perlu didengar. Perhimpunan pada hari ini saya anggap sebagai protes secara aman yang perlu diambil kira oleh pemimpin-pemimpin negara.


"Pendapat orang ramai yang hadir ini perlu diambil kira bagi kesejahteraan negara," katanya yang ditemui ketika berarak dalam perhimpunan berkenaan.

Menerusi perhimpunan aman berkenaan, penganjur menuntut pembelaan kematian Muhammad Adib mereka juga menuntut dan memberi tempoh 40 hari kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, untuk memecat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy.

Selain Waytha Moorthy, pihaknya mendesak supaya Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Dan Pekerja Ladang negeri Selangor, V Ganabatirau, turut disingkirkan.

Pada 17 Disember lalu, Muhammad Adib, 24, yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, disahkan meninggal dunia di Institusi Jantung Negara (IJN).

Arwah disahkan meninggal dunia pada jam 9.41 malam akibat mengalami kecederaan serius selepas diserang dan dipukul dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Seafield, Subang Jaya pada 27 November lalu


BERITA HARIAN

0 comments:

Post a Comment