Monday, 24 December 2018

Peserta himpunan aman esok dinasihat patuh arahan polis





SHAH ALAM - Peserta perhimpunan aman bagi menuntut keadilan atas
kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim yang akan dianjurkan di
Klang dekat sini, petang esok dinasihatkan mematuhi arahan pihak polis
dan tidak menimbulkan sebarang provokasi yang boleh mengganggu
ketenteraman awam.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Ab Rashid Ab Wahab berkata,
pihaknya akan menempatkan pegawai polis yang mencukupi bagi mengawal
keselamatan sepanjang perhimpunan 'Keadilan Untukmu Adib dan Desakan
Pecat Waytha Moothy'.


"Kita sudah bersiap sedia dengan anggota polis yang mencukupi untuk
mengawal keadaan termasuk lalu lintas di sekitar bandar Klang esok,"
katanya ketika dihubungi Bernama, di sini, hari ini.

Muhammad Adib yang parah dipukul ketika insiden di Kuil Sri Maha
Mariamman di Subang Jaya bulan lalu disahkan meninggal dunia di Institut
Jantung Negara pada 9.41 malam Isnin lepas.

Mengulas mengenai permit perhimpunan berkenaan, Ab Rashid berkata,
pihaknya ada menerima notis pemberitahuan dari penganjur himpunan
berkenaan, Gerakan Rakyat Malaysia (Geras) tetapi ia diserahkan kepada
pihak polis kurang dari tempoh yang ditetapkan.

Himpunan itu yang akan diadakan di Dataran Seni Klang, dekat sini,
petang esok diadakan bagi menuntut keadilan atas kematian Muhammad Adib
selain turut dijadikan platform bagi mendesak Menteri di Jabatan Perdana
Menteri, P. Waytha Moorthy meletak jawatan dan menuntut Perdana Menteri
Tun Dr Mahathir Mohamad memecat pemimpin Hindraf tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner
Nurulhuda Mohd Salleh dalam kenyataannya berkata, lima persimpangan
jalan akan ditutup esok bermula pukul 12 tengah hari berikutan
perhimpunan itu.

"Lima persimpangan yang terlibat ialah Jalan Raja Hassan, Jalan Nangka,
Jalan Nanas, Jalan Melayu dan Jalan Taiping.

"Pada masa sama, jalan yang terlibat dengan penutupan berperingkat
bermula pukul 3 petang pula ialah Susur Jambatan Kota, Bulatan Kota,
Bulatan 100, Persiaran Sultan Ibrahim, Jalan Pos Baru dan Jalan Pasar,
laluan kontra turut akan dibuat di Jalan Batu 3 sekiranya penutupan
penuh dibuat," katanya. - Bernama

0 comments:

Post a Comment