SHAH ALAM: Saksi memberitahu Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, difahamkan mengangguk apabila di tanya sama ada dipukul, oleh seorang kakitangan yang memantau mangsa di Institut Jantung Negara (IJN), tahun lalu.
Saksi
ke-14, Perunding Kanan Pakar Pembedahan Kardiotorasik IJN, Datuk Dr
Mohamed Ezani Md Taib, 54, berkata kakitangan institusi perubatan yang
dikenali sebagai ‘Asyraf’ ada bertanya Muhammad Adib ketika dirawat di
IJN tetapi perkara itu hanya diberitahu kepadanya selepas kematian
pesakit.
Ketika
disoal Pegawai Pengendali Kes, Faten Hadni Khairuddin berhubung perkara
itu, Dr Mohamed Ezani menjawab, beliau diberitahu pada perayaan Krismas
yang lalu.
Faten : Apa yang Asyraf beritahu kamu?
Dr
Mohamed Ezani : Seingat saya pada perayaan Krismas tahun lalu, Asyraf
ada beritahu saya bahawa dia bertanya dengan pesakit (Muhammad Adib)
‘Ingat tak apa yang berlaku?’
Faten : Kemudian, apa reaksi pesakit?
Dr
Mohamed Ezani : Asyraf beritahu pesakit hanya mengangguk dan menjawab
‘ingat’. Kemudian Asyraf bertanya lagi ‘kena pukul ke?’ Sekali lagi
pesakit angguk kepala.
Dr
Mohamed Ezani bagaimanapun berkata beliau meminta kakitangan IJN
berkenan supaya melaporkan perkara itu kepada pegawai undang-undang
untuk mengetahui prosedur selanjutnya.
Katanya,
pada hari kelima atau keenam, beliau ada bertanyakan perkara sama
kepada Muhammad Adib, sama ada ingat atau tidak apa yang berlaku pada
dirinya, tetapi ketika itu keadaan pesakit masih tidak stabil.
Tambahnya,
Pegawai Penyiasat (IO) juga ada datang ke IJN untuk menemuramah
pesakit. Soalan sama ditanya tetapi pesakit hanya menggelengkan kepala.
Sementara
itu, sepanjang berada di IJN dengan bantuan sistem sokongan mesin
Extracorporeal Membrane Oxygenation (ECMO) yang membantu fungsi
paru-paru, Muhammad Adib memberikan reaksi positif.
Dr
Mohamed Ezani berkata antara reaksi positif pesakit yang boleh beliau
simpulkan sepanjang berada dalam rawatan di IJN termasuk boleh mengikut
arahan yang diberikan seperti gerakan kepala, tangan dan bahasa isyarat,
malah pesakit juga berkomunikasi dengan menulis menggunakan papan
putih.
Terdahulu,
Dr Mohamed Ezani berkata kematian Muhammad Adib adalah disebabkan
mengalami Sindrom Kesukaran Pernafasan Akut (RDS) yang berkaitan dengan
kegagalan organ.
“Buah pinggang pesakit belum pulih sepenuhnya manakala jantung dan paru-parunya masih cedera.
“Selain
itu, boleh dirumuskan bahawa terdapat objek keras yang dipukul (pada)
dada sehingga menyebabkan trauma dada. Tetapi objek keras itu saya tidak
dapat beri spekulasi,” katanya.
Muhammad
Adib, yang parah dalam kejadian rusuhan berhampiran Kuil Sri Maha
Mariamman, di USJ 25, Subang Jaya, 27 November tahun lalu itu
menghembuskan nafas terakhir selepas 21 hari bertarung nyawa, pada 17
Disember lalu di IJN.
- BERITA HARIAN -
0 comments:
Post a Comment