Thursday 13 September 2018

1MDB : RM2.973 bilion masuk akaun Najib - Polis



KUALA LUMPUR: Sebanyak AS$972 juta atau bersamaan RM2.973 bilion wang daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dikesan dimasukkan ke dalam akaun peribadi milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Transaksi kewangan berkenaan berasal dari tiga syarikat iaitu Good Star, AABAR dan Tanore yang berjaya dijejak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, berkata menerusi siasatan dijalankan juga, polis sudah mengenalpasti sebanyak 132 transaksi penggunaan wang haram dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Katanya, polis juga mengenal pasti seramai lebih 50 individu termasuk ahli politik dari dalam dan luar negara turut menerima wang yang diseleweng daripada 1MDB.

"Kita menjangkakan bahawa mereka yang sudah dikenal pasti itu akan hadir memberi keterangan dalam waktu terdekat.

"Malah sehingga kini juga seramai 64 individu sudah diambil keterangan termasuk keterangan Najib serta anaknya Nooryana Najwa," katanya pada sidang media mengenai siasatan 1MDB di Bukit Aman, hari ini.

Noor Rashid berkata, siasatan terhadap 1MDB dibuat sejak 17 Mei lalu menerusi Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram Urus Setia Ketua Polis Negara berdasarkan laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Katanya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

"Ekoran laporan itu, polis menjalankan serbuan di lima premis dan mengambil tindakan penyitaan mengikut Seksyen 45(2) AMLATFPUAA 2001.

"Penyitaan itu membabitkan barang seperti wang tunai termasuk mata wang asing berjumlah RM114 juta, 12,080 barang kemas, 566 beg tangan, 537 utas jam tangan dan 234 unit cermin mata pelbagai jenama," katanya.

Beliau berkata, mengikut peruntukan di bawah AMLATFPUAA 2001, polis diberi tempoh setahun untuk menyiasat harta alih atau tidak alih yang disita.

Katanya, rampasan barangan yang turut dipertikaikan oleh Najib itu dibuat berdasarkan alasan munasabah serta disyaki sebagai barang hasil perolehan haram berkaitan 1MDB.

"Sehingga kini juga, pihak AMLA PDRM tidak menerima sebarang tuntutan rasmi daripada mana-mana pihak membabitkan barangan yang dirampas yang dipertikaikan individu tertentu itu," katanya.

Menurut Noor Rashid, pihak AMLA PDRM juga sudah menyerahkan perintah di bawah Seksyen 32 AMLATFPUAA 2001 kepada Najib untuk hadir memberi keterangan berhubungan kenyataan Ahli Parlimen Pekan itu bahawa wang tunai dirampas adalah milik UMNO.

Katanya, polis juga sudah mengenal pasti beberapa beg tangan dan jam tangan yang disyaki diperoleh menggunakan hasil wang haram.

"Pasukan siasatan kini dalam proses mengumpulkan bukti agar tindakan pendakwaan dan pelucutan hak harta dapat diambil. Malah, bagi melengkapkan siasatan itu, kita turut mendapatkan kerjasama Amerika Syarikat, Switzerland, Arab Saudi dan Singapura.

"Jadi, dalam proses mengumpul bukti yang cukup, PDRM mempunyai masa sehingga Mei 2019 bagi melengkapkan siasatan. "Siasatan itu memang sangat sukar dan akan mengambil masa panjang kerana membabitkan maklumat serta saksi dari negara lain,” katanya.

0 comments:

Post a Comment