Monday 3 September 2018

Harga kereta Perodua 1-3 peratus lebih rendah



RAWANG: Harga kenderaan Perodua turun antara satu hingga tiga peratus , berbanding era Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) susulan pengenalan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Perodua hari ini mengeluarkan senarai harga baharu untuk semua kenderaannya, dengan harga kenderaan yang lebih rendah itu adalah untuk model tertentu.

Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Datuk Dr Zahari Husin, berkata berdasarkan struktur cukai baharu, hampir semua model Perodua berharga lebih rendah berbanding sebelum 1 Jun 2018.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia, terutama kepada 3.3 juta pelanggan dihargai yang telah memilih Perodua sebagai jenama pilihan mereka.

“Mengenai servis penyelenggaraan serta alat ganti Perodua, kami akan terus menawarkan harga kompetitif kepada pelanggan. Kami amat menghargai sokongan padu yang telah ditunjukkan oleh orang ramai terhadap produk dan perkhidmatan kami, dan akan terus memperbaiki diri untuk pelanggan.

“Sila kunjungi mana-mana cawangan jualan dan perkhidmatan kami di seluruh negara dan bercakap dengan penasihat jualan dan perkhidmatan yang sah untuk mengetahui lebih lanjut tentang produk dan perkhidmatan yang ditawarkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada 1 Jun lalu, kerajaan telah merombak kadar cukai GST dari enam peratus ke kadar sifar, merintis tempoh 'cuti cukai' selama tiga bulan dan membawa kepada peningkatan permintaan kenderaan dalam tempoh berkenaan.

Pada Julai, Kementerian Kewangan telah mengumumkan bahawa SST, yang menggantikan GST, akan ditetapkan pada kadar 10 peratus untuk jualan dan enam peratus untuk perkhidmatan.

- Berita Harian -

0 comments:

Post a Comment