Friday 21 September 2018

2 suspek penculik mati ditembak dalam Operasi Gasak



KUNAK: Pasukan keselamatan menembak mati dua lelaki disyaki tali barut kumpulan penculik untuk wang tebusan (KFR) dalam kejadian berbalas tembakan di perairan daerah ini berhampiran Pulau Boheyan, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.45 malam itu, kedua-dua suspek berusia 50-an menaiki sebuah bot pam warna kuning melarikan diri dari pemeriksaan pasukan keselamatan menerusi Operasi Gasak di penempatan atas air di Kampung Kunak Tiga, di sini.

Sepasukan polis diketuai Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, Ketenteraman Awam Polis Sabah, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir kemudian mengejar bot terbabit sambil memberi amaran supaya berhenti, namun suspek melepaskan beberapa das tembakan.

Susulan itu, polis terpaksa melepas tembakan balas untuk mempertahankan diri dan sebaik bot terbabit dipintas, tembakan dilepaskan ke arah suspek sebelum kedua-duanya mati di tempat kejadian akibat kecederaan di badan.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Sabah (ESSCOM), Datuk Hazani Ghazali, berkata pasukan keselamatan menemui pistol jenis Revolver .22 dan .38, tujuh peluru hidup jenis .22 dan sebutir peluru hidup .38 bersama lima kelongsong serta sebilah pedang samurai.

“Kedua-dua suspek yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri dipercayai warga Filipina disyaki tali barut kumpulan KFR yang membuat tinjauan pergerakan nelayan sebelum maklumat disalurkan kepada penculik,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kunak, hari ini.

0 comments:

Post a Comment